Negara

Seorang lagi penunggang RXZ maut, motosikal bertembung treler di Gerik

IPOH: Seorang lagi penunggang Yamaha RXZ dilaporkan maut selepas bertembung sebuah treler di Kilometer 45 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli.

Lelaki berkenaan, Roziman Abu Aziz, 36, dari Baling, Kedah, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Gerik akibat nahas kira-kira jam 9 pagi semalam itu.

Kejadian semasa mangsa difahamkan dalam perjalanan ke Perhimpunan RXZ 7.0 di Gong Badak, Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman, berkata kejadian dipercayai berpunca apabila motosikal mangsa dari arah Gerik ke Jeli hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

“Mangsa kemudian melanggar bahagian kanan bampar treler jenis Volvo dipandu lelaki tempatan berusia 44 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Samad berkata, bedah siasat mengesahkan punca kematian disebabkan kecederaan dalaman pada abdomen akibat kemalangan.

Beliau berkata pemandu treler tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Semalam, media melaporkan dua penunggang RXZ yang dalam perjalanan menyertai Program RXZ Members 7.0 maut selepas terbabit kemalangan berasingan di Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2), dekat Bukit Besi dan Ajil Hulu Terengganu.

Dalam kejadian pertama kira-kira jam 12 tengah hari di Kilometer 370, berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Bukit Besi, Hariz Fahmi Shaizuren Amin dari Taman Lestari Putra, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor maut di tempat kejadian.

Nahas dipercayai apabila motosikal ditungganginya dipercayai bergesel dengan sebuah motosikal lain lalu terbalik dan mangsa tercampak atas jalan.

Kejadian kedua, juga sekitar jam 12 tengah hari, membabitkan seorang jururawat, Roslinawati Ramli, 33, dari Johor yang maut selepas motosikal ditungganginya kemalangan di Kilometer 394, dekat Ajil, Hulu Terengganu.

Motosikal ditunggangnya hilang kawalan lalu terjatuh atas jalan raya yang menyebabkan mangsa cedera di kepala dan disahkan meninggal di tempat kejadian.

Terdahulu, dalam kejadian berasingan di Bera, Pahang, eksekutif jualan, Mohd Syukri Shahrudin, 33, dari Taman Sedia Raja, Chembong, Rembau, Negeri Sembilan, maut selepas motosikal ditungganginya terbabas di Jalan Palong 8.

Kejadian kira-kira jam 6.30 pagi tadi ketika mangsa menunggang motosikal Yamaha RXZ dari arah Rembau, diperyai mahu menyertai Perhimpunan RXZ 7.0 di Gong Badak. – Berita Harian

Related Posts