Negara

‘Orang politik jangan cepat koyak, cuma saya rayu janganlah kelirukan rakyat’ – Armizan

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, menafikan dakwaan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, bahawa Ahli Parlimen Papar itu memetik punca kuasa perundangan yang tidak wujud berkait isu penggunaan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi.

Beliau berkata, undang-undang yang dirujuknya berkenaan isu itu adalah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 (PPKB).

“Apapun, saya fikir perlu ucapkan tahniah kepada Presiden MCA sebab dalam ‘posisi’ sekarang, beliau lebih cakna sebagai ‘jurucakap rakyat’ berbanding dulu.

“Saya fikir kiranya aura ‘jurucakap rakyat’ itu muncul lebih awal ketika beliau menjadi menteri, beliau dan partinya pasti akan membuat bantahan lebih awal pada 2021 dan bukannya 2025,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau sekali gus mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa pada 2021, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ketika itu menggubal PPKB (Pindaan) 2021, menguatkuasakannya pada 15 Oktober 2021 dan mewartakannya sebagai Warta Kerajaan Persekutuan yang boleh diakses oleh awam.

“Saya tidak kisah Presiden MCA tuduh saya bohong. Orang politik jangan cepat koyak. Cuma saya merayu janganlah kelirukan rakyat dengan rujukan kepada undang-undang yang saya tidak sebut,” katanya.

Armizan menegaskan beliau tetap berpegang dan merujuk kepada punca kuasa perundangan yang ada, serta tidak akan cuba mengelirukan rakyat dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

“Ya benar, saya Ahli Parlimen penggal pertama dan Presiden MCA sudah berpenggal-penggal di Dewan Rakyat dan lama sebagai anggota pentadbiran. Memang lebih jauh berpengalaman.

“Menuduh saya memetik punca kuasa perundangan yang tidak wujud, bukan cerminan kepada saratnya pengalaman dan kebijaksanaan Presiden MCA yang sempat saya kenali dahulu,” katanya.

Related Posts