RAUB: Lebih 3,000 pokok durian yang ditanam secara haram dalam kawasan Hutan Simpan (HS) Gunung Benum, di sini, ditebang dalam tempoh 18 hari ‘Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Tanaman Durian’ bermula 21 Julai lalu.
Tindakan memusnahkan tanaman durian berusia antara tiga hingga 40 tahun itu dilakukan selepas titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ingin melihat kegiatan menceroboh tanah di Pahang disekat segera.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Zainuddin Jamaluddin, berkata operasi penguatkuasaan bersepadu kali ini membabitkan kawasan Hutan Simpan (HS) Gunung Benum seluas 250 hektar yang mengambil masa secara berterusan selama dua bulan.
Beliau berkata, selain memusnahkan tanaman durian pelbagai jenis seperti Musang King, D24, IOI dan durian kampung itu, turut ditebang dalam operasi berkenaan ialah pokok petai, rambutan, manggis serta beberapa pokok buah-buahan lain yang berada dalam hutan simpan itu.
Katanya, operasi kali ini mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Rela.
“Aktiviti rondaan mengesan pihak yang menceroboh kawasan hutan simpan berkenaan dilakukan 24 jam.
“Sejak operasi penguatkuasaan dilakukan, kita tidak dapat bantahan atau ancaman daripada pekebun, malah mereka akur dengan tindakan jabatan yang tegas memusnahkan tanaman mereka yang ditanam atas tanah diceroboh secara haram.
“Kita juga sudah mengedarkan notis pengosongan tanah penerokaan HS Gunung Benum yang dilakukan tanpa kebenaran pada 18 Julai lalu, dengan menyatakan pihak yang bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 32, Akta Perhutanan Negara 1984 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya, di sini hari ini.
50 hektar dusun dalam kawasan Gunung Benum dimusnahkan
Zainuddin berkata, sejak operasi penguatkuasaan bersepadu tanaman durian dilakukan bulan lalu, pelbagai tanaman buah-buahan seluas 50 hektar dalam kawasan HS Gunung Benum dimusnahkan dengan cara menebang.
Beliau berkata, cabaran operasi kali ini apabila pihaknya berdepan masalah memasuki kawasan diceroboh kerana terpaksa melalui tanah milik yang berpagar dan berkunci.
Katanya, mereka tidak memberi kerjasama hingga tindakan memotong kunci pagar terpaksa dilakukan pihak berkuasa.
“Kebanyakan kawasan ceroboh HS Gunung Benum terletak di belakang kawasan tanah milik, berbeza dengan kawasan ceroboh hutan simpan dan tanah kerajaan lain daerah ini.
“Pekebun tanah milik menggunakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan kehadiran pasukan operasi, sebahagian mereka tidak memberi kerjasama untuk melalui kawasan kebun dengan pelbagai alasan.
“Kebanyakan individu menceroboh HS Gunung Benum yang dijadikan kebun durian dan buah-buahan itu adalah masyarakat setempat dan sudah tiba masanya kita memusnahkan tanaman serta bangunan yang dibina itu.
“Kita tidak boleh tunduk dengan pihak yang mengambil kesempatan meneroka hutan simpan dan tanah kerajaan,” katanya. – Berita Harian