TELUK INTAN: Seorang remaja lelaki maut selepas kereta yang dinaiki dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam tali air di Parit 9, Jalan Labu Kubong dekat Chenderong Balai pada Khamis.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga individu lain yang lain terselamat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kemalangan maut diterima pada jam 2.29 petang melibat kereta jenis Proton Iswara.
Menurut beliau, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan empat mangsa lelaki masing-masing berusia 18 tahun yang mana tiga orang dikeluarkan oleh orang awam manakala seorang lagi mangsa tidak sedarkan diri.
“Mangsa yang tidak tersepit bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di tempat kejadian,” katanya di sini.
Sabarodzi berkata, pasukan kemudian meneruskan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Sinar Harian