Negara

Penjawat awam diingatkan tidak sertai Himpunan Turun Anwar – KSN

PUTRAJAYA – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengingatkan penjawat awam agar tidak menyertai sebarang perhimpunan termasuk Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini, 26 Julai.

Ini kerana katanya, penjawat awam tertakluk kepada ikrar yang dilafazkan pada setiap minggu iaitu sentiasa setia kepada raja dan negara.

“Mereka penjawat awam, mana boleh turun?” katanya ringkas ketika ditanya mengenai penglibatan penjawat awam dalam himpunan berkenaan.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Sukan Ansara (KSA) 2025 di sini pada Ahad.

Menurut Shamsul Azri, mana-mana penjawat awam perlu memahami dan menghayati maksud sebenar ikrar dibaca pada setiap minggu.

“Kita baca ikrar tu setiap hari, setiap minggu. Kesetiaan kepada raja dan negara. Lupakah?

“Taat setialah kepada raja dan negara,” tegas beliau lagi.

Pada 12 Julai lalu, menerusi sidang media Pas menyasarkan penyertaan lebih 50,000 orang dalam Himpunan Selamatkan Malaysia: Turun Anwar yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini di Kuala Lumpur.

Himpunan dianjurkan itu didakwa sebagai isyarat kebangkitan rakyat terhadap kegagalan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mobilisasi penyokong sedang giat dijalankan melibatkan semua peringkat termasuk setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

Polis sebelum ini turut memberi peringatan bahawa sebarang perhimpunan mesti mematuhi peraturan sedia ada termasuk memaklumkan kepada pihak berkuasa lebih awal. – Sinar Harian

Related Posts