Negara

Selamat hari lahir ke-40 Proton Saga

KUALA LUMPUR – Model kereta nasional pertama negara iaitu Proton Saga pada Rabu genap 40 tahun sejak diperkenalkan secara rasmi pada 9 Julai 1985.

Selama empat dekad, kenderaan ikonik itu kekal menjadi simbol mobiliti mampu milik dan terus mencorak kehidupan seharian rakyat pelbagai lapisan.

Dilancarkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, Proton Saga merupakan manifestasi usaha kerajaan dalam membangunkan industri automotif tempatan melalui penubuhan syarikat Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PROTON).

Model tersebut dibangunkan hasil kerjasama teknikal dengan Mitsubishi Motors Corporation dari Jepun.

Proton Saga bukan sahaja menjadi titik tolak kepada perkembangan industri berat di Malaysia malah menjadi pilihan utama rakyat sebagai kenderaan pertama mereka.

TUN MAHATHIR (dua, kiri) teruja melihat kereta Proton Saga diperkenalkan secara rasmi pada 9 Julai 1985.


Dengan reka bentuk ringkas, kos penyelenggaraan rendah dan harga mampu milik, ia segera mencuri hati pengguna seluruh negara.

Sejak pengeluaran awalnya, Proton Saga telah melalui beberapa fasa transformasi melibatkan tiga generasi utama, bermula dengan model asal enjin karburetor, kemudian model Iswara, seterusnya versi facelift dan model generasi baharu dengan teknologi enjin VVT yang lebih moden.

Sepanjang 40 tahun berada di pasaran, lebih empat juta unit Proton Saga telah terjual di dalam dan luar negara.

Ia kekal menjadi antara model paling laris keluaran Proton dan menyumbang besar kepada jenama automotif itu mengekalkan kedudukannya dalam pasaran domestik.

Sepanjang 40 tahun berada di pasaran, lebih empat juta unit Proton Saga telah terjual di dalam dan luar negara.

Model tersebut juga dikenali sebagai ‘kereta rakyat’ kerana peranannya yang begitu dekat dengan kehidupan harian masyarakat serta sinonim sebagai kereta keluarga, kenderaan perkhidmatan kerajaan, teksi, kenderaan pelajar serta pilihan popular bagi pemandu e-hailing.

Ketahanan dan kemudahan penjagaan menjadikan Proton Saga kekal relevan biarpun teknologi automotif semakin maju.

Malah, ia terus menjadi pilihan generasi baharu yang mengutamakan nilai praktikal dan kos efektif, terutama bagi pembeli kereta pertama.

Sempena ulang tahun ke-40 ini, Proton mengadakan pelbagai program penghargaan pelanggan termasuk promosi khas, konvoi Saga seluruh negara dan pameran warisan model-model terdahulu.

Di platform digital, kempen #Saga40Years turut menerima sambutan hangat dalam kalangan peminat automotif dan pemilik setia model tersebut.

Meskipun dunia automotif kini memasuki era elektrifikasi dan kecerdasan buatan, Proton Saga kekal teguh sebagai simbol usaha gigih anak Malaysia membina jenama sendiri di pentas industri global.

Ia adalah bukti bahawa permulaan sederhana mampu melahirkan warisan yang besar maknanya.

40 tahun berlalu, Proton Saga bukan sekadar sebuah kenderaan tetapi satu perjalanan tentang kecekalan, kemajuan dan semangat kebangsaan yang terus hidup di jalan raya Malaysia. – Sinar Harian

Related Posts