Mahkamah dan Jenayah

Dua beradik lemas: Bapa, teman wanita direman

PORT DICKSON: Polis menahan reman bapa kepada dua kanak-kanak yang meninggal dunia akibat lemas selepas kereta dinaiki mereka menggelongsor masuk ke Sungai Linggi, Tanjung Agas di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, turut ditahan kekasih kepada bapa kanak-kanak itu selepas permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Seremban.

Ujarnya, reman terhadap suspek bermula pada 5 September hingga 11 September bagi membantu siasatan.

Sebelum ini Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, lelaki tempatan berusia 46 tahun dan wanita berusia 41 tahun ditahan selepas didapati memberi keterangan yang meragukan berhubung kejadian terbabit.

“Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai 16 rekod jenayah lampau termasuk empat kes yang masih dikehendaki, manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Ujian air kencing terhadap kedua-dua mereka didapati negatif, namun semakan ke atas kereta yang digunakan didapati merupakan kenderaan yang dilaporkan hilang dalam satu laporan polis di Nusa Bestari, Johor pada tahun 2022,” katanya

Dua beradik berusia enam dan lapan tahun lemas selepas kereta yang dinaiki bersama bapa dan seorang wanita terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

Difahamkan ketika kejadian, kereta tersebut diparkir di tebing sungai dalam keadaan enjin dimatikan, sementara bapa mangsa keluar sebentar untuk merokok. – Sinar Harian

Related Posts