BESUT: Lelaki warga Thailand berusia 51 tahun maut selepas terbabit dalam kemalangan di atas Jambatan Kuala Besut, di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Md Sani Md Saleh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 3.30 petang membabitkan dua kenderaan iaitu motosikal jenis SYM dan kereta Mazda.
Katanya, dalam kejadian itu mangsa Mr. Adnan Bueraheng menunggang motosikal itu bersama pembonceng wanita warga Thailand.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika motosikal ditunggang mangsa memotong garisan putih berkembar dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung sebuah kereta dipandu seorang lelaki.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Besut untuk urusan bedah siasat.
“Pembonceng motosikal mengalami kecederaan menerima rawatan di hospital yang sama,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Metro
