Negeri

35 peserta usaha tanaman kelapa pandan

KEMAMAN: Seramai 35 peserta mengusahakan tanaman kelapa pandan di tapak Projek Pertanian Berkelompok Kampung Tok Kapor, Binjai, di sini melibatkan kawasan seluas 14 hektar pada 1996 lalu.

Seorang pengusaha, Khairul Anuar Othman berkata, Jabatan Pertanian Daerah Kemaman telah menawarkan benih kelapa, baja dan khidmat nasihat kepada peserta.

Menurutnya, peserta menanam 120 pokok kelapa pandan pada setiap ekar tanah dan dapat mengeluarkan hasil antara 600 hingga 700 biji sebulan.

“Peserta bukan sahaja menjual kelapa muda malah ada yang menjual kelapa tua untuk diambil santan.

“Selain itu, terdapat juga peserta memproses  air nira untuk dijual pada masyarakat setempat dan sekitarnya,” katanya kepada Suara Timur di ladang Kelapa Pandan Projek Pertanian Berkelompok Kampung Tok Kapor, Binjai hari ini.

Khairul Anuar memberitahu, peserta yang menjaga pokok kelapa itu dengan baik, mereka akan dapat pulangan kira-kira RM1,500 hingga RM2,000 sebulan.

“Sekarang pokok kelapa pandan telah berusia 26 tahun dan saya mengambil langkah menanam semula sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Menurut Khairul Anuar, bagi menambah pendapatan sampingan, beliau juga turut memelihara lebah kelulut sebanyak 70 sarang dengan penghasilan sebanyak RM500 hingga RM700 sebulan.

“Pemintaan pelanggan terhadap buah kelapa pandan, air nira dan madu lebah kelulut buat masa ini amat tinggi dan saya hanya mampu menjual kepada masyarakat setempat sahaja, ujarnya.

Khairul Anuar turut menasihati orang ramai yang mempunyai tanah terbiar, boleh mendapat khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian Daerah Kemaman bagi memajukan tanah mereka dengan menanam kelapa pandan dan perternakan lebah kelulut.

“Jabatan Pertanian Daerah Kemaman sedia membantu membekal benih kelapa pandan dan benih lebah kelulut,” katanya.  – Suara Timur

Related Posts