KUALA TERENGGANU: Lebih 200,000 pengunjung dijangka memeriahkan Pelita Raya Terengganu 2025 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, Kuala Nerus dekat sini bernula 13 hingga 16 Mac depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, pesta
tersebut menjadi tumpuan termasuk pelancong kerana melibatkan penyertaan dari seluruh negeri dan luar negara.
Menurutnya, antara negara yang telah mengesahkan penyertaan seperti Thailand, Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Nepal.
“Tema program itu adalah ‘Membudayakan Khazanah Warisan Kita’ yang membawa maksud memelihara warisan lama dengan menjadikan sebahagian budaya daripada kehidupan moden dalam menghargai dan mempromosikan warisan budaya.
“Di samping itu, dapat memastikan ia terus kekal relevan dan memberi manfaat kepada generasi akan datang serta menyumbang kepada pembangunan sosial ekonomi dan memperkukuhkan identiti bangsa,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Program tersebut dianjurkan kerajaan negeri Terengganu melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan kerjasama Kompleks Sukan Negeri Terengganu.
Razali memberitahu, sebanyak lapan pejabat daerah dan 11 agensi serta badan kerajaan tidak ketinggalan menyertai pesta tersebut.
Katanya, pihak penganjur juga menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM36,200 bagi pertandingan Pelita Raya melibatkan empat kategori.
“Selain itu, beberapa acara sampingan turut diadakan seperti demonstrasi makanan tradisional dan demo kraf serta permainan tradisional,” katanya.
Tambahnya, majlis perasmian penutup program akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar. – Utusan