KUALA NERUS: Penduduk Pulau Redang terutama pengusaha bot dan teksi mendakwa berdepan kesulitan apabila bekalan minyak petrol dan diesel terputus sejak lebih dua minggu lalu.
Pengusaha bot dan teksi, Azmi Kamaruzaman, 48, berkata, situasi itu menjejaskan pendapatan penduduk dan pengusaha pelancongan yang bergantung sepenuhnya kepada bekalan minyak untuk beroperasi setiap hari.
Menurutnya, masalah berkenaan timbul selepas pertukaran kontraktor pembekal bahan api di pulau peranginan tersebut.
“Masalah ini bermula selepas kontraktor baru ambil alih. Kami dan penduduk kampung sangat terkesan.
“Sebelum ini, kemudahan minyak cukup baik dan teratur kerana kontraktor dah ada sediakan pam minyak, tapi sekarang jadi macam zaman 70an, bukan sahaja susah nak dapat, minyak juga perlu disukat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada petang Selasa.
Azmi berkata, mereka terpaksa ke tanah besar seperti di Merang, Setiu semata-mata untuk membeli minyak dalam tong, namun jumlah dibenarkan sangat terhad.
“Kami terpaksa guna hampir 50 liter minyak untuk perjalanan pergi dan balik ke daratan, namun hanya dibenarkan beli 25 atau 50 liter sahaja, memang tak berbaloi dan menyusahkan.
“Pihak berwajib sepatutnya mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu bekalan minyak yang memberi kesan besar kepada komuniti setempat di sini,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Bot Pelancong Pulau Redang, Mohd Yusri Azizol Yusoff, 38, memaklumkan terdapat lebih 200 bot pelancong berdaftar di pulau tersebut yang turut terjejas akibat gangguan bekalan.
“Kami dimaklumkan kontraktor baharu akan mula bekalkan minyak bermula 15 Mei ini dan akan membawa masuk dalam bentuk tong.
“Tetapi, sehingga kini kami semua belum jelas mengenai kaedah kemasukan dan sistem yang akan digunakan,” katanya.
Menurutnya, kontraktor baharu tidak memiliki aset lengkap seperti pam dan kemudahan logistik menyebabkan mereka berasa ragu terhadap kaedah penyaluran minyak di kawasan itu.
“Dulu semua tersedia, sekarang kami difahamkan kontraktor baharu pula tak cukup kemudahan.
“Kita dah cuba hubungi pihak berkuasa, tapi panggilan tidak dijawab. Harap kerajaan ambil perhatian dan bertindak segera,” katanya lagi. – Sinar Harian