MACHANG: Impian seorang remaja menyarung uniform tentera tidak kesampaian apabila dia kini terlantar dalam keadaan separa koma sejak tujuh bulan lalu akibat kemalangan jalan raya pada awal tahun ini.
Lebih memilukan, Muhammad Alif Daniel Mohd Amran, 18, juga tidak sempat menduduki tiga kertas peperiksaan terakhir pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 susulan insiden yang menimpa dirinya.
Ibunya, Che Siti Farhana Che Ahmad, 39, berkata, anak sulung daripada lima beradik itu pernah menyuarakan impiannya untuk menjadi seorang anggota tentera, namun kini semuanya berkecai
Menurutnya, Muhammad Alif Daniel mengalami kecederaan parah selepas motosikal dibonceng bersama sepupunya melanggar seekor kerbau ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari padang bola di Kampung Joh pada 9 Januari lalu.
“Akibat kemalangan itu, anak saya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai selama sebulan dan dipindahkan ke wad biasa selama sebulan sebelum dibenarkan pulang ke rumah.
“Melalui ujian pengimbas tomografi berkomputer (CT Scan) yang dilakukan menunjukkan bahagian otak anak saya membengkak dan doktor terpaksa membuang sebahagian tempurung kepala untuk mengurangkan tekanan,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu 23, Labok di sini, semalam.
Ibu kepada lima cahaya mata ini berkata, doktor memaklumkan Muhammad Alif Daniel diberi tempoh setahun untuk menunjukkan perkembangan positif.
Menurutnya, jika tidak ada perubahan, besar kemungkinan anaknya akan kekal dalam keadaan separa koma seumur hidup.
“Hati ibu mana yang tidak sedih apabila melihat anak yang dulunya sihat, kini terlantar dan memerlukan penjagaan rapi termasuk menyedut kahak bagi mengelakkan pernafasannya terganggu selain perlu diberi minum susu khas melalui saluran tiub pada hidung.
“Sebagai ibu, saya hanya mampu berdoa kepada Allah SWT serta menaruh harapan tinggi supaya Muhammad Alif Daniel kembali pulih seperti sedia kala dan berharap agar keajaiban berlaku,” katanya.
Menurutnya, untuk membeli keperluan anaknya itu termasuk susu formula khas dan lampin pakai buang, dia bergantung sepenuhnya kepada bantuan e-Kasih dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang kesemuanya berjumlah RM700 sebulan selain duit sedekah daripada jiran tetangga yang datang menziarah.
“Namun, ianya masih tidak mencukupi kerana kos untuk membeli susu formula khas mencecah RM2,000 sebulan berikutan satu bekas susu hanya bertahan untuk sehari.
“Anak saya hanya bergantung kepada susu khas yang diberi setiap empat jam sekali menerusi tiub di hidung untuk meneruskan hidup,” katanya.
Katanya, biarpun suaminya, Mohd Amran Idris, 41, bekerja di bengkel membaiki kenderaan di Melor dengan pendapatan sekitar RM100 sehari, mereka sedaya upaya akan memastikan keperluan Muhammad Alif Daniel sentiasa mencukupi.
“Selain keperluan Muhammad Alif Daniel, kami juga perlu menyediakan perbelanjaan untuk tiga lagi anak yang masih bersekolah berusia lapan hingga 17 tahun,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0301341000069015 atas nama Che Siti Farhana Che Ahmad. – Harian Metro