KOTA BHARU: Wanita tertua di Kelantan, Siti Liah Mamat, 124, meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya di Dusun Raja di sini pada Ahad.
Allahyarhamah yang mempunyai 12 anak dan lebih 50 cucu serta 10 cicit itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10.40 malam di sisi keluarganya.
Manura Mohd Idris, 76, anak keempat memberitahu, ibunya hanya mengalami sakit tua namun ingatannya masih jelas dan mengenali sanak saudara.
“Ibu tidak mempunyai sebarang penyakit. Cuma perasan semalam dia tidak banyak bercakap.
“Malam tadi (Ahad) saya bersama anak saudara (Norliana Azman, 37) dan pembantu rumah ada menemaninya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Isnin.
Menurutnya, jenazah ibunya selamat dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Chempaka pada jam 11 pagi.
Terdahulu Siti Liah memahat sejarah apabila disenaraikan sebagai penerima Vaksin Covid-19 pada usia 120 tahun.
Allahyarhamah adalah antara penerima yang mendapat suntikan dos kedua vaksin melalui program pandu lalu di Pusat Pemberian Vaksin Khas Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (Hospital Pakar USM), Kubang Kerian. – Sinar Harian