Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Kerajaan Terengganu melalui Yayasan Terengganu hari ini melancarkan ‘Biasiswa Terengganu Sejahtera’ bagi membantu para pelajar yang kurang berkemampuan di negeri itu untuk meneruskan pengajian di Kolej Universiti Tati (TatiUC).
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM1.6 juta khusus bagi membantu anak-anak negeri itu yang akan memulakan pengajian di TatiUC tahun ini.
Beliau berkata, objektif utama penubuhan biasiswa itu selaras dengan hasrat kerajaan negeri bagi memastikan tiada anak-anak yang cemerlang negeri itu terhalang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi kerana masalah kewangan.
Menurutnya, pendidikan adalah kunci utama untuk memecahkan lingkaran kemiskinan di samping berupaya meningkatkan taraf hidup masyarakat.
“Jumlahnya hampir RM1.6 juta untuk digunakan oleh pelajar-pelajar di Kolej Universiti Tati. Yang ini kita tengok, kalau tak cukup, kita akan semak semula,” katanya.
Ahmad Samsuri berkata demikian pada Majlis Hari Terbuka Kolej TatiUC di Kampus Teluk Kalong, di sini, hari ini.
Turut hadir Rektor TatiUC, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid.
Beliau menambah, kerajaan negeri akan melihat kemampuan kewangan negeri dan mungkin akan menambah jumlah biasiswa berkenaan sekiranya terdapat permintaan.
Selain itu, katanya, Ahmad Samsuri meminta anak-anak negeri itu yang menuntut di TatiUC supaya dapat mengambil peluang pendidikan yang diberikan itu termasuk mendalami bidang kecerdasan buatan (AI)
“Pelajar perlu mendalami bidang dan kemahiran berkaitan AI kerana yang manusia yang hebat perlu mengawal AI dan bukan hanya bergantung kepada AI,” katanya.