Negeri

MTL: Masjid Ar-Rahman, Pulau Redang berisiko rosak jika tiada langkah pemulihan

BESUT: Masjid Ar-Rahman, di Pulau Redang, berdepan risiko struktur bangunan rosak sekiranya tidak dibaikpulih susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang bakal melanda.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid Ar-Rahman Pulau Perhentian Abdul Aziz Che Abdullah berkata, pagar di tepi masjid sepanjang kira-kira 18 meter sudah runtuh akibat dibadai ombak serta hakisan pantai, Januari lalu.

“Kami sudah membuat aduan kepada pihak berkaitan namun tiada tindakan segera,” katanya ditemui di masjid berkenaan, semalam.

Beliau berkata, sekiranya tiada tindakan dilaksanakan bagi memulihkan keadaan seperti meletakkan benteng penahan ombak serta membaikpulih kerosakan keadaan akan bertambah buruk.

“Masjid ini dibina semula bagi menggantikan masjid lama dengan berkonsepkan masjid terapung mampu memuatkan kira-kira 500 jemaah dan beroperasi sejak 2013,” katanya.

Katanya, sebelum ini sudah ada usaha pihak berwajib meletakkan benteng penahan ombak namun batu yang digunakan batu kecil serta turut dihanyutkan aliran arus ombak yang deras.

“Sepatutnya saiz batu yang digunakan adalah besar untuk memecahkan ombak besar serta mengurangkan hakisan pada bahagian bawah masjid.

“Dalam tempoh beberapa bulan ini kami dapati berlaku rekahan di beberapa tiang serta dinding masjid,” katanya.

Sementara itu, bilal masjid, Mahasan Ab. Razak,66, berkata, kos pembinaan semula masjid berkenaan sebelum ini mencecah jutaan ringgit.

“Kita tidak mahu disebabkan masalah hakisan pantai serta ombak besar ini akan menjejaskan masjid yang turut menjadi salah satu produk pelancongan Islam di pulau ini.

“Selain itu isu keselamatan jemaah juga perlu ditititberatkan kerana sepanjang MTL masjid ini tetap beroperasi seperti biasa,” katanya.

Katanya, mereka berharap pihak berkenaan segera membina benteng penahan ombak serta membaik pulih struktur bangunan masjid yang rosak ini sebelum tiba musim MTL dijangka pada bulan depan. – Berita Harian

Related Posts