CATATAN DI ATAS WAKAF
Oleh MOHD LAZIM ENDUT
BERMULA hari ini, semua umat Islam di negara ini mula menyambut kedatangan bulan Ramadan dengan penuh kesukuran dan ketakwaan.
Bagi kebanyakan umat Islam terutama mereka yang tinggal di kampung, sebaik sahaja anak bulan Ramadan kelihatan, maka bermulalah pelbagai aktiviti keagamaan sama ada dilakukan di rumah, surau atau masjid berhampiran.
Selain golongan dewasa boleh dikatakan surau surau atau masjid pada sebelah malamnya sentiasa penuh sesak dengan orang ramai termasuk golongan remaja dan kanak-kanak sama ada lelaki atau perempuan.
Begitulah betapa meriahnya kehadiran waktu malam sepanjang Ramadan, menyebabkan tradisi menyambut bulan yang penuh keberkatan ini sentiasa meninggalkan kenangan dan nostalgia indah bagi mereka yang mengerjakan ibadah tersebut.
Namun, itu cerita dahulu, cerita zaman datuk nenek kita, iaitu sewaktu manusia hidup dalam kegelapan malam tanpa bekalan elektrik dan dan juga teknologi maklumat.
Mereka sentiasa hidup dalam susana tenang dan damai bersama kejiranan yang amat teguh, sentiasa bermuafakat serta tolong menolong.
Mereka tidak dilalaikan dengan program hiburan karut maruk menerusi kaca telivisyen.
Malah mereka juga tidak bermasam muka akibat percakapan dan perbalahan politik sempit sehingga mampu meruntuhkan institusi kekeluargaan dalam masyarakat.
Kalau dahulu, sepanjang Ramadan kebanyakan umat Islam menunaikan ibadah puasa dengan penuh berhati hati dan kyusuk termasuk menjaga setiap perkara memudaratkan iaitu yang boleh mengurangkan pahala puasa, menjaga tingkah laku percakapan, lidah, mulut, mata dan juga telinga.
Malangnya, penulis mendapati suasana seperti itu sudah lama berlalu, ada dalam kalangan umat Islam kini semakin kalut sehingga setiap detik dan masa mereka lebih gemar ‘berkelahi’ mengenai politik.
Bermula dari anak anak muda hinggalah kepada golongan veteran, mereka terus bercakap isu politik walau di mana sahaja sama ada di bangku tepi jalan, warung kopi, taman permainan, malah di masjid dan surau pun ada yang gemar bersembang politik.
Apa yang penulis perhatikan, bukan
sahaja pemimpin parti sahaja yang bercakap mengenai politik,tetapi pengikut dan golongan marhain pun melakukan perkara sama.
Paling dikesalkan isu politik kini semakin berselerak terpapar melalui media sosial seperti Facebook, Tik Tok, WhatsApp,
Telegram dan sebagainya dengan tertulis pula perkataan yang tidak enak didengar termasuk making Harun dan juga fitnah di sana sini.
Begitulah betapa hebatnya pengaruh politik di negara ini di mana tanpa disedari ia turut memberi kemudaratan kepada masyarakat, iaitu perpecahan dan permusuhan antara sesama Islam.
Justeru, sempena bulan Ramadan kali ini penulis benar-benar berharap semua orang politik di negara ini khususnya politik Melayu sama ada mewakili pemerintah ataupun pembangkang seharusnya ‘berdamai’ dengan menjauhi perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa.
Kembalikan perpaduan dalam kalangan orang Melayu dengan mengelakkan diri daripada menabur fitnah, maki hamun dan juga buruk sangka sesama Islam sepanjang Ramadan ini.
Memandangkan Ramadan merupakan bulan penuh barakah, semua pemimpin dan ahli politik Melayu perlu berehat seketika untuk membolehkan mereka sama sama menjalani ibadah puasa sambil menghayati tuntutan sebenar kemahuan agama, bangsa dan negara.
Ia penting kerana tiada siapa di antara kita mengetahui apakah nasib kita selepas ini dan adakah kita masih dipanjangkan usia untuk kembali menyambut kedatangan Ramadan pada tahun hadapan?
Atau apakah sambutan Ramadan kali ini yang terakhir bagi kita?
Walaupun ia bukan hajat atau harapan kita, namun penularan pelbagai jenis wabak seperti Infueza A (HINI) dan Covic-19 sebelum ini yang turut dikaitkan sebagai penyakit akhir zaman amat membimbangkan.
Oleh itu, sebagai umat Islam, kita seharusnya akur dan reda dengan apa yang berlaku, tetapi pada masa sama kita juga perlu berikhtiar untuk mencari jalan terbaik bagi mengatasinya.
Berdasarkan perkara itulah, sepanjang bulan Ramadan kali ini setiap pemimpin dan politik Melayu perlu menginsafi setiap kejadian yang berlaku.
Mereka perlu berganding bahu dengan mengadakan muzakarah atau perbincangan secara meja bulat bagi memikirkan nasib rakyat, bukan hanya pentingkan soal politik semata mata.
Pada bulan yang mulia ini setiap pemimpin politik Melayu tidak perlu ‘berperang’, bertikam lidah dengan pelbagai isu kontroversi sehingga menimbulkan kekeliruan rakyat.
Janganlah mendedahkan keburukan orang lain kerana ia akhirnya turut menelanjangi keburukan bangsa Melayu sendiri.
Tuduh menuduh, serang menyerang dengan pelbagai isu panas bukan sahaja boleh meretakkan hubungan dan perpaduan, sebaliknya ia turut mendorong kepada perpecahan umat Islam.
Justeru, jika kita pentingkan bangsa dan agama yang semakin mengecil ini, sama sama kita memenuhi sepanjang malam Ramadan ini dengan berdoa ke arah jalan kebaikan.
Sudah sampai masanya para pemimpin politik Melayu tidak lagi berkelahi sesama sendiri hanya disebabkan perbezaaan fahaman politik sempit, pangkat dan
kuasa. – Suara Timur