KUALA LUMPUR: Kumpulan sukarelawan Global Sumud Flotila (GSF) yang ditahan Israel, dipaksa melutut dengan tangan diikat menggunakan tali zip nilon (zip tie) selama sekurang-kurangnya lima jam selepas beberapa peserta melaungkan “Bebaskan Palestin.”
Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) mendedahkan, dalam tempoh 24 jam lalu, ADALAH dapat bertemu dengan 331 sukarelawan di Pelabuhan Ashdod.
Kumpulan sukarelawan itu kini berdepan perbicaraan di hadapan pihak berkuasa imigresen Israel.
“Hak peserta dicabuli secara sistematik sepanjang proses ini. Selain dinafikan akses kepada air, tandas dan ubat-ubatan, mereka juga dinafikan akses kepada peguam, yang melanggar hak asasi mereka kepada proses keadilan, perbicaraan yang adil dan wakil undang-undang.
“Semalam, ketika lokasi sukarelawan flotilla tidak diketahui, peguam dibiar menunggu kira-kira sembilan jam di luar Pelabuhan Ashdod dan tidak dimaklumkan apabila pihak imigresen Israel mula memproses dan menjalankan perbicaraan.
“Ia hanya diketahui selepas tahanan sendiri menghubungi mereka secara langsung.
“Walaupun beberapa kali dihalang masuk oleh polis Israel, peguam ADALAH akhirnya berjaya memasuki pelabuhan dan memberikan khidmat nasihat kepada 331 peserta.
“Beberapa peserta melaporkan dikasari, diancam dan diganggu, termasuk dikejut secara kasar setiap kali cuba tidur,” katanya dalam kenyataan, awal pagi tadi.
ADALAH memaklumkan, pihak berkuasa kemudian memindahkan peserta dari Ashdod ke Penjara Ketziot di Naqab dan memulakan perbicaraan tribunal tanpa memaklumkan pasukan peguam serta meneruskan proses itu sepenuhnya tanpa kehadiran peguam.
“ADALAH kini hadir dalam perbicaraan tribunal yang mana perintah tahanan sedang disemak semula.
“ADALAH sedang mengambil tindakan undang-undang untuk memastikan setiap peserta dapat dikenal pasti, sementara meneruskan lawatan ke penjara, dan pada masa sama, menggesa supaya mereka dibebaskan serta-merta daripada tahanan haram dan pemulangan barangan peribadi serta bekalan bantuan kemanusiaan mereka,” katanya.
Sementara itu, ADALAH menyifatkan tindakan Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir, ke lokasi penahanan sukarelawan GSF semalam, jelas untuk menghina dan menakut-nakutkan sukarelawan.
“Peserta flotilla dirakam dan dieksploitasi dalam tindakan kawalan yang menjatuhkan maruah.
“Paparan penghinaan ini berlaku serentak dengan kempen fitnah oleh pegawai Israel yang secara palsu melabelkan peserta flotilla sebagai pengganas dalam usaha memperlekeh misi keamanan mereka dan menghalalkan taktik penindasan yang digunakan.
“Keseluruhan proses ini tidak sah dari awal hingga akhir. Pintasan (oleh kapal Israel) itu sendiri melanggar undang-undang antarabangsa, begitu juga penculikan di perairan antarabangsa.
“Usaha Israel mewajarkan tindakan ini melalui penguatkuasaan sekatan tidak boleh diterima kerana sekatan itu sendiri tidak sah.
“Ia satu bentuk hukuman kolektif dan menjadi alat utama dalam pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku, termasuk penggunaan kebuluran secara sengaja sebagai kaedah peperangan,” katanya. – Berita Harian