Oleh BAZLI RAZAK
TANJONG MALIM: Perhimpunan Bulanan Ogos 2025: Semarak Merdeka anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini diserikan dengan perarakan pakaian tradisional melibatkan 19 kontinjen daripada pelbagai fakulti, jabatan dan pusat tanggungjawab universiti berkenaan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid Salimin berkata, perarakan itu bukan sekadar peragaan fesyen tetapi lambang kepada kepelbagaian, kebudayaan dan perpaduan masyarakat Malaysia.

“Setiap pakaian tradisional yang dipersembahkan membawa cerita dan warisan tersendiri. Ia mencerminkan wajah sebenar Malaysia yang kaya dengan pelbagai etnik, budaya dan bahasa, dan inilah juga wajah sebenar UPSI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis tersebut yang diadakan di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, di sini.
Dalam pertandingan kontinjen terbaik, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) dinobatkan sebagai juara, manakala tempat kedua dimenangi oleh Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Harta Benda (JPPHB) dan tempat ketiga dimenangi oleh Jabatan Pendaftar.

Menurut Prof. Dr. Norkhalid, penglibatan pelbagai pihak dalam menjayakan perarakan itu membuktikan nilai kerjasama dan semangat gotong-royong yang menjadi teras kepada sambutan kemerdekaan.

“Sebagai warga universiti, kita mendidik bakal pemimpin negara. Oleh itu, kemerdekaan perlu diterjemahkan melalui integriti, etika kerja yang tinggi serta semangat membina bangsa melalui ilmu,” katanya.
Perhimpunan bulanan itu turut menjadi medan memperkukuh ukhuwah antara warga UPSI, selain memperingati detik bersejarah 31 Ogos 1957 dalam suasana penuh semangat patriotik. – Suara Timur