Politik

‘Berdamailah, lupakan pertelingkahan lama sesama ahli UMNO’- Zahid

PASIR SALAK: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan ahli UMNO untuk berdamai dan melupakan pertelingkahan lama sesama ahli dalam usaha mencapai kemenangan pada pilihan raya mendatang.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri memetik pertelingkahan yang pernah berlaku antara bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, dengan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun.

Beliau memberikan contoh itu ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Keuntungan Boleh Agih Interim 1/2025 Projek Peserta FELCRA Berhad di Pusat Benih Padi FELCRA Plantation and Sevices Sdn Bhd, FELCRA Berhad Seberang Perak, di sini, yang turut dihadiri Tajuddin dan Khairul Azwan, dengan menyatakan kemenangan akan dicapai jika kesepakatan diwujudkan.

Sebelum itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah secara berseloroh menyatakan tepukan hadirin pada majlis itu lebih meriah jika beberapa permohonan membabitkan kawasan Parlimen Pasir Salak seperti pemindahan premis GiatMARA datang daripada Tajuddin sendiri berbanding permohonan dikemukakan oleh Khairul Azwan.

“Kurang tepukan, mungkin yang minta adalah Azwan Bro (Khairul Azwan). Kalau yang minta Tajuddin mungkin lebih lagilah (tepukan), tetapi tidak mengapa, saya akan pastikan dua-dua ini akan berdamai untuk menentukan semula kawasan Parlimen dan kedua-dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Yang sudah itu sudahlah, kita pergi ke jalan baharu. Saya pun anak Perak juga, insya-Allah kita akan capai kemenangan jika kita mewujudkan kesepakatan,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Datuk Idris Lasim.

Sebelum ini, dilaporkan wujud persengketaan antara Tajuddin dan Khairul Azwan apabila pada Jun 2023, Tajuddin pernah dilapor menuntut permohonan maaf daripada Khairul Azwan berhubung dakwaan sabotaj parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Susulan itu Tajuddin kemudian digantung keahlian UMNO selama enam tahun bermula September 2022 kerana kesalahan mengkritik parti, namun pada Disember 2024, penggantungan keahlian Tajuddin itu ditarik semula berkuat kuasa serta-merta atas keputusan dibuat dalam mesyuarat MKT secara sebulat suara. – Berita Harian

Related Posts