KUALA LUMPUR: Kekeliruan mengenai status beras tempatan dan import kini menimbulkan dilema kepada rakyat yang ingin membayar zakat fitrah.
Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkata, perkara itu menimbulkan tanda tanya dalam urusan pembayaran fitrah yang mengikut nilai beras yang dimakan oleh pembayar zakat.
“Masalah beras pada hari ini menjadi dilema kepada kami yang nak bayar fitrah terutama kepada rakyat. Apabila amil tanya mereka sama ada makan beras import atau beras tempatan?
“Bila ditanya, mereka kata makan beras tempatan, tetapi pek beras yang digunakan sebenarnya adalah beras import,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2024) 2025 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Idris yang juga Naib Presiden PAS turut menyindir keadaan pasaran beras yang semakin tidak menentu dengan wujudnya kartel beras yang mengawal harga dan bekalan.
“Beras kartel itu berapa kadar pun kita tak tahu. Inilah yang berlaku dalam negara kita hari ini,” katanya. – Harakahdaily