Home Mahkamah dan JenayahBekas jurutera mengaku salah miliki peralatan palsukan wang

Bekas jurutera mengaku salah miliki peralatan palsukan wang

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang bekas jurutera mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, hari ini atas pertuduhan memiliki peralatan untuk memalsukan sejumlah wang pada Disember tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Faisal Mohd Shahrani, 34, yang merupakan bekas jurutera, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki peralatan iaitu satu unit mesin fotostat bewarna hitam jenama Toshiba dan satu unit komputer riba jenama Dell serta plug power yang digunakan untuk pemalsuan suatu mata wang kertas iaitu sebanyak 359 keping not RM50 yang memakai siri nombor yang sama PC9192656.

banner

Kesalahan itu dilakukan lelaki itu di sebuah kilang di kawasan Perindustrian Teluk Kalong kira-kira pukul 6 petang, pada 29 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 489D Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan, lelaki itu boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Wan Suhaila kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 19 Januari depan untuk fakta kes dan tarikh jatuh hukum.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Asyikin Hashim. – Suara Timur

Tinggalkan komen