KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Tentera Darat (PTD) yang disiasat dalam kes rasuah membabitkan tender perolehan Tentera Darat, direman tujuh hari bermula hari ini hingga Rabu depan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Selain itu, seorang daripada isterinya yang turut ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) semalam, pula direman enam hari bermula hari ini hingga Selasa ini, manakala seorang lagi isterinya direman tiga hari bermula hari ini hingga Sabtu ini.
Ketiga-tiga mereka dibawa ke Mahkamah Putrajaya pagi tadi untuk proses permohonan reman bagi membantu siasatan kes rasuah itu selepas ditahan di Ibu Pejabat SPRM pada jam 3 petang semalam.Mereka sebelum itu tiba di Kompleks Mahkamah Putrajaya pada jam 10.02 pagi tadi dengan menaiki dua kenderaan SPRM.
Semua mereka memakai baju tahanan berwarna oren serta bergari, sebelum dibawa masuk ke pekarangan mahkamah. – Berita Harian
