Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN : Kampung Teladas, Air Putih, di sini dilanda banjir gelombang kedua selepas hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan paras air Sungai Teladas berdekatan meningkat dan melimpah.
Sehingga pukul 3 petang tadi, seramai 81 penduduk terjejas daripada 20 keluarga dipindahkan sejak pukul 10 malam tadi ke Pusat Perpindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai, Kampung Air Putih.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Air Putih, Mohd Zailani Othman berkata, paras air Sungai Teladas naik ekoran hujan lebat sejak petang semalam.

Susulan itu, beberapa buah rumah berhampiran sungai berkenaan mula dinaiki air sedalam sehingga satu meter dan tindakan awal diambil bagi memindahkan kesemua penduduk ke PPS berdekatan.
“Buat masa sekarang cuaca nampak cerah tapi kita takut hujan hulu dan kadang-kadang kita tak tahu kemungkinan dan kita macam biasa membuat persiapan awal berpindah ke PPS dengan bantuan polis dan bomba.

Menurut Mohd Zailani, kampung berkenaan memang berisiko berlaku banjir kerana kedudukannya berdekatan dengan sungai terutamanya selepas berlaku hujan lebat di kawasan hulu.

“Pihaknya sentiasa memantau keadaan banjir di kampung berkenaan dan turut berkolaborasi dengan beberapa agensi keselamatan untuk memindahkan penduduk terjejas sekiranya keadaan banjir semakin buruk susulan hujan lebat yang masih turun,” katanya pada pemberita di Perkarangan Pusat Perpindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai, Kampung Air Putih di sini, hari ini.
Sementara itu, beberapa penduduk yang ditemui berkata, mereka membuat keputusan berpindah ke PPS selepas kawasan kediaman mereka mula dinaiki air bagi menjamin keselamatan diri dan keluarga serta mengelakkan berpindah pada saat-saat akhir.

Seorang penduduk, Anita Sulong berkata, dia membuat persiapan awal berpindah dengan mengemas pakaian selepas kawasan kampung ini mula dinaiki air semalam.

“Ketika dalam perjalanan pulang dari hospital pada pukul 6.30 petang didapati jalan di kampung ini mula ditenggelami banjir.
“Sampai di rumah, saya kemas barang, kain baju dan berpindah di PPS kira-kira pukul 1 pagi,” katanya.
Noriah Mohd Amin pula berkata, dia membuat persiapan awal menghadapi banjir dengan meletakkan beberapa barangan di atas staging yang dipasang di belakang rumah.

Seorang lagi penduduk, Roslan Hasan berkata, paras air di kampung ini naik dengan cepat selepas hujan lebat semalam.
“Paras air petang semalam baru satu kaki sahaja dan hari ini di kawasan rumah saya meningkat di paras pinggang,” ujar
Tinjauan di PPS Dewan Orang Ramai Air Putih mendapati semua penduduk terjejas berada dalam keadaan selesa dan kebajikan mereka sentiasa dipantau pihak berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Mohd Hafiz Adam turut melawat PPS bagi menyantuni dan memastikan semua aspek kebajikan dan keselamatan dapat diberikan kepada semua penduduk terjejas.
Tinjauan turut mendapati beberapa kampung lain dalam Dewan Undangan Negeri Air Putih turut dinaiki air antaranya ialah Kampung Dadong, Tebak, Seberang Tayor, Felda Seberang Tayor dan Kampung Pasir Gajah.
Sementara itu, berdasarkan laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air Sungai Kampung Air Putih kini mencatatkan bacaan 14.39 meter iaitu telah melepasi paras bahaya dengan trend menaik. – Suara Timur
