Mahkamah dan Jenayah

Polis tahan suami isteri disyaki dalang sindiket syabu, rampas dadah RM2.8j di Taiping

IPOH: Sepasang suami isteri dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah dipercayai aktif sejak Ogos lalu ditahan polis yang turut merampas syabu bernilai lebih RM2.8 juta dalam satu serbuan di Taiping.

Serbuan kira-kira jam 5.15 petang kelmarin dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) hasil maklumat risikan dan aduan orang awam.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata terdahulu seorang lelaki berusia 39 tahun bekerja sebagai pemandu lori ditahan di tepi jalan berhampiran kawasan pasar Pokok Assam kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.

“Susulan soal siasat, suspek membawa polis ke sebuah rumah di Taman Assamara di mana seorang wanita tempatan berusia 26 tahun turut ditahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini.

Lelaki dan wanita berkenaan yang juga suri rumah adalah pasangan suami isteri.

Noor Hisam berkata, hasil pemeriksaan di rumah sewa itu, polis menemui enam paket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki syabu seberat 5 kilogram (kg) dan 84.75 liter cecair yang dipercayai mengandungi dadah.

“Polis turut menemui pelbagai peralatan dan bahan kimia yang digunakan untuk memproses semula syabu gred rendah bagi tujuan jualan semula,” katanya menambah nilai keseluruhan dadah dirampas dianggarkan RM2,874,038.40.

Berdasarkan siasatan, katanya, dadah yang dirampas dipercayai untuk diedarkan di luar Perak yang boleh menampung kira-kira 51,486 penagih.

“Ujian saringan air kencing mendapati pemandu lori itu positif metamphetamine, manakala isterinya negatif. Hasil semakan lanjut mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod jenayah dan dadah, manakala isterinya tidak mempunyai sebarang rekod,” katanya.

Polis turut merampas sebuah kereta Honda City milik abang ipar suspek lelaki dan Nissan Navara milik isterinya, dengan nilai keseluruhan kira-kira RM100,000. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Noo Hisam berkata, pasangan itu direman seminggu hingga Rabu depan bagi membantu siasatan.

“Kejayaan ini mencerminkan keberkesanan operasi risikan berterusan serta kerjasama erat orang awam. Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu terbabit kegiatan pengedaran dadah.

“Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah adalah kesalahan serius di bawah undang-undang,” katanya sambil menegaskan bahawa pasukan polis komited memerangi dadah demi melindungi generasi kini dan akan datang. – Berita Harian

Related Posts