Negara

Pesta buku UPSI bukti buku masih relevan dalam era digital


Oleh BAZLI RAZAK

TANJONG MALIM: Ledakan dunia digital tidak mematikan minat masyarakat terhadap buku, sebaliknya terus mengukuhkan peranan pesta buku sebagai wadah mempertemukan komuniti pencinta ilmu.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr. Suriani Abu Bakar berkata,  walaupun masyarakat kini semakin cenderung kepada bahan bacaan digital, pesta buku masih relevan sebagai platform penting untuk menyemarakkan budaya membaca serta memperkukuh jaringan ilmu antara penulis, penerbit dan pembaca.

“Masih relevan untuk kita terus menganjurkan pesta buku kerana ia bukan sekadar jualan buku, tetapi satu alat dan platform mempertemukan semua pihak yang cintakan ilmu,” katanya.

DR. Suriani (tiga dari kanan) ketika menyempurnakan gimik perasmian Pesta Buku UPSI Ke-20 di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Pesta Buku UPSI Ke-20 di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI pada Khamis lalu.

Suriani berkata, penganjuran pesta buku secara bersemuka masih diperlukan bagi memupuk semangat membaca serta menghidupkan interaksi sosial yang menjadi asas kepada perkembangan intelektual masyarakat.

DR. Anwar Ridhwan (kanan) ketika menyampaikan wacana sasterawan bertajuk ‘Peranan Bahasa dan Sastera dalam Pembentukan Budaya Nilai Tinggi’ sempena Majlis Perasmian Pesta Buku UPSI Ke-20 di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Pesta Buku UPSI yang memasuki edisi ke-20 tahun ini, katanya, bukan sekadar acara universiti tetapi telah menjadi temasya masyarakat Muallim yang menghubungkan pelbagai lapisan komuniti termasuk pelajar sekolah, keluarga dan pencinta buku dari daerah sekitar.

“Kita masih perlu bersemuka dalam menjalankan aktiviti berkaitan semarak ilmu mahupun perbukuan. Sebab itu, pesta buku masih hidup di mana-mana, walaupun dalam era pendigitalan,” ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Pustakawan Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI, Noriha Muhammad berkata, pesta buku bukan sekadar himpunan naskhah dan helaian kertas, tetapi lambang perjuangan ilmu yang menghidupkan semangat pencerahan dan kemajuan bangsa.

LEBIH 100 pengunjung hadir pada Majlis Perasmian Pesta Buku UPSI Ke-20 di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

“Apabila kita berbicara tentang pesta buku, kita berbicara tentang jiwa ilmu yang menyalakan obor kemajuan. Inilah semangat yang dihidupkan oleh UPSI, universiti yang diasaskan atas roh pencerahan dan penyebaran ilmu.

Beliau berkata, pesta buku yang telah bertahan dua dekad itu menjadi wadah unggul menghubungkan penulis dengan pembaca, penerbit dengan ilmuwan, dan ilmu dengan masyarakat.

“Sebanyak 14 pempamer dari Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) serta 16 pempamer komersial mengambil bahagian tahun ini, termasuk Iman Publications, Naseehat Holding dan Edu Resources, selain 20 gerai jualan yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan untuk pengunjung,” katanya.

Majlis perasmian turut menyaksikan Wacana Sasterawan Negara oleh Datuk Dr. Anwar Ridhwan bertajuk ‘Peranan Bahasa dan Sastera dalam Pembentukan Budaya Nilai Tinggi’ serta pameran dan jualan buku oleh pelbagai penerbit tempatan dan institusi ilmiah. – Suara Timur

Related Posts