Politik

Perkataan Islam wajar digugurkan dari nama Pas

KUALA TERENGGANU: Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu menyambut baik langkah Sisters In Islam (SIS) menggugurkan penggunaan perkataan Islam dalam nama pertubuhan mereka.

Naib Pengerusi Amanah Terengganu, Zamir Ghazali berkata, PAS sepatutnya merasa malu kerana SIS nyata lebih peka dalam menjaga kesucian agama Islam serta lebih patuh kepada saranan seorang Raja, yang merupakan Ketua Agama Islam di negeri.

“SIS memilih untuk hanya menggunakan nama SIS Forum sebagai pertubuhan mereka. Tindakan ini selaras dengan titah DYMM Sultan Selangor dan wajar dijadikan teladan oleh semua pihak.

“Keputusan SIS ini menunjukkan kesedaran tinggi bahawa nama Islam bukan boleh digunakan sesuka hati, apatah lagi jika ia boleh menimbulkan kekeliruan dan polemik dalam kalangan masyarakat. Islam adalah agama suci yang perlu dipelihara maruahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliu berkata, Amanah Terengganu berpandangan sudah tiba masanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) meneliti secara serius soal penggunaan perkataan Islam dalam nama pertubuhan, khususnya parti politik.

Jelasnya, berbeza dengan institusi kewangan seperti Bank Islam yang beroperasi di bawah kerangka undang-undang jelas iaitu Islamic Financial Services Act, parti politik tidak mempunyai sebarang sandaran undang-undang khusus.

“Mereka hanya mendakwa berpaksikan al-Quran, Sunnah, Ijmak Ulama dan Qias, namun amalan dan dasar mereka adalah tafsiran sendiri yang boleh dipertikai.

“Keadaan ini menimbulkan risiko besar apabila nama Islam dijadikan perisai untuk kepentingan politik kepartian. Jika berlaku penyalahgunaan, nama Islamlah yang tercalar dan umat Islam keseluruhannya yang akan menanggung akibatnya,” katanya.

Sehubungan itu, tambahnya, Amanah Terengganu menggesa Menteri Dalam Negeri mengambil inisiatif segera untuk membincangkan perkara ini bersama ROS.

“Jika perlu, hal ini wajar juga dibawa ke perhatian Majlis Raja-Raja Melayu agar pandangan dan titah baginda dapat menjadi panduan tertinggi dalam menjaga kesucian nama Islam,” ujarnya.

Zamir berkata, Amanah Terengganu yakin, langkah tegas ini akan memastikan nama Islam dipelihara daripada dieksploitasi, dan pada masa yang sama memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam menghormati titah Sultan Selangor serta menjaga maruah agama di mata rakyat dan dunia. – Suara Timu

Related Posts