KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini menzahirkan peringatan tegas kepada pemimpin masyarakat agar tidak menjadikan agama Islam sebagai alat politik demi kepentingan peribadi.
Sultan Ibrahim bertitah bahawa urus tadbir kerajaan mestilah mengikut landasan syariat Islam, bukannya berdasarkan kefahaman sekular atau liberal.
“Saya ingin mengingatkan agar pemimpin masyarakat tidak mempolitikkan agama Islam untuk kepentingan peribadi. Sebaliknya, mengislamkan politik demi kepentingan negara.
“Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna, mencakupi seluruh aspek kehidupan. Oleh itu, janganlah ada pihak yang menunggang agama untuk kepentingan parti politik mereka atau menyebarkan fitnah dan kebencian yang akhirnya memecahbelahkan masyarakat,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini pada Jumaat. – Bernama
Seri Paduka Baginda turut mengingatkan supaya pentas dakwah dan medan pengajaran agama tidak dijadikan saluran membawa agenda politik kepartian, sebaliknya kekal sebagai ruang memperkukuh perpaduan dan penyatuan ummah.
Sultan Ibrahim turut menitahkan semua pihak perlu menghormati Perlembagaan Persekutuan dan tidak sesekali menyalakan api permusuhan atas nama kaum atau agama yang boleh menggugat keamanan negara.
“Nilai perpaduan erat dicapai di negara ini adalah melalui Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan nilai kebersamaan, keadilan kuasa, tanggungjawab dan muafakat.
“Marilah kita bersama menjaga kesucian agama Islam dan membentuk penyatuan ummah yang harmoni kerana Islam adalah agama persaudaraan dan perdamaian,” titah Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim turut menyeru anggota pentadbiran dan kepimpinan negara supaya mencontohi sifat Rasulullah SAW yang berhikmah, adil dan tidak menzalimi yang lemah. – Berita Harian