JOHOR BAHRU: Kerajaan beri jaminan untuk tidak menaikkan harga petrol untuk rakyat negara ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, cadangan menaikkan harga petrol RON95 pernah dibentangkan di Kabinet sebelum ini, namun beliau tidak bersetuju dengannya.
“Saya sedang fikirkan isu subsidi petrol RON 95, ada yang minta harganya dinaikkan untuk rakyat.
“Namun, saya tak setuju naikkan harga petrol RON95 boleh diturunkan sedikit demi sedikit mengikut masa dan harga pasaran.
“Namun harga petrol untuk empat juta orang rakyat asing di negara ini yang perlu dinaikkan
“Orang asing nikmati RM3 hingga RM4 bilion subsidi. Mungkin selepas ini nak beli petrol RON95 kena tunjuk kad pengenalan,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulung Presiden PKR, pada hari terakhir Kongres PKR Johor 2025, hari ini.
Pada 18 Oktober lalu, ketika membentangkan Belanjawan 2025 Datuk Seri Anwar Ibrahim menyentuh isu penyasaran subsidi petrol RON95 yang dijangka dilaksanakan pertengahan tahun ini.
Tujuan cadangan berkenaan, menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, boleh menjimatkan sehingga RM8 bilion hasil 40 peratus subsidi petrol RON95 yang dinikmati warga asing dan golongan maha kaya ketika ini.
Penjimatan itu nanti, katanya, akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak, membiayai pembangunan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam di negara ini.
Justeru, tegas Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam, rakyat tidak harus musykil dengan pendekatan kerajaan yang akan mempertahankan kepentingan rakyat terbanyak.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, tiada negara di dunia yang memberi subsidi petrol kepada golongan maha kaya termasuk yang memiliki deretan kereta mewah.
“Mana ada negara yang beri subsidi petrol pada yg ada Roll Royce terutama lima peratus golongan yang maha kaya negara ini.
“Namun golongan lima peratus ini suruh kita pertahankan mereka supaya dapat terus nikmati subsidi petrol,” katanya.