Negara

Jadi bidan terjun sambut anak dalam kereta di pagi Syawal

IPOH: “Tak tahu hikmah apa Allah SWT nak beri, mungkin Dia nak bagi saya peluang tengok betapa besarnya pengorbanan seorang isteri.”

Itu kata peniaga pakaian, Muhamad Uqbah Bahari, 36, ketika diminta berkongsi kisahnya yang menjadi bidan terjun selepas menyambut kelahiran anak keempat pada pagi kelmarin bersamaan 1 Syawal.

Rakaman kamera papan pemuka (dashcam) ketika situasi mendebarkan itu dikongsikan Muhamad Uqbah di TikTok dan menarik perhatian warganet dengan sehingga kini meraih 6.8 juta tontonan.

Berkongsi kisah itu, Muhamad Uqbah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.47 pagi ketika dia dan isteri, Nur Azrinahanim Ramli, 37, dalam perjalanan dari kampung di Gerik ke sebuah pusat perubatan dekat sini.

“Dalam jam 5.30 pagi, isteri sudah sakit tapi dia hanya kejut saya jam 6.30 pagi jadi saya tak berlengah dan terus bawanya ke pusat perubatan.

“Ketika dalam perjalanan, isteri tak tahan nak bersalin jadi saya berhenti di tepi jalan dekat kilometer (km) 258.1 dan waktu itu sudah nampak rambut bayi keluar.

“Tapi saya tak beritahu isteri sebab enggan dia panik. Kemudian isteri tanya saya boleh sambut anak atau tidak dan ikutkan memang tiada pengalaman kerana sebelum ini hanya teman dia di wad bersalin,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bagaimanapun, Muhamad Uqbah cuba membantu isterinya sehingga selamat melahirkan bayi lelaki mereka.

“Ikutkan memang gementar tapi perasaan itu hilang sampai tak rasa takut selepas isteri bagi semangat.

“Saya pun ingat pesan ayah supaya amalkan selawat Jibril untuk permudahkan urusan dan syukur, isteri selamat melahirkan cahaya mata kami selepas sekali meneran dalam tempoh seminit saja.

“Alhamdulillah, anak dan isteri selamat… saya pun dapat bawa mereka sampai tiba di pusat perubatan dengan kakitangan bertugas sudah sedia menunggu di parkir,” katanya.

Meskipun berdepan pengalaman mencemaskan, Muhamad Uqbah bersyukur kerana Allah SWT mempermudahkan urusannya dan isteri tempoh hari.

“Urusan kami seperti dipermudahkan kerana jalan pun tak sesak dan lampu isyarat hijau saja.

“Seronok sudah tentu kerana dapat timang cahaya mata keempat pada pagi Syawal.

“Paling istimewa apabila dapat pengalaman sambut sendiri anak… cuma kami belum beri nama lagi buat anak kerana masih berbincang,” katanya. – Sinar Harian

Related Posts