Negara

Ratusan penduduk sambut Ahmad Zahid

HULU TERENGGANU: Ratusan penduduk dan pemimpin setempat menyambut kehadiran
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sempena Program Santunan Kasih Ramadan anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama Felcra bersebelahan Masjid Kampung Kuala Akob, di sini.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut berbuka puasa bersama tetamu dan menyampaikan  agihan keuntungan boleh agih akhir Felcra. 

Sepatutnya program yang berlangsung di  pekarangan Masjid Kampung Kuala Akob, Kuala Berang terpaksa dipindahkan ke kawasan tanah persendirian bersebelahan masjid tersebut namun persiapan berjaya dilaksanakan sebelum bermulanya majlis petang.

Yang hadir sama Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Idris Lasim.

Dalam pada itu, agihan keuntungan akhir Felcra Berhad tahun lalu mencatat peningkatan luar biasa sebanyak 154 peratus atau RM116 juta melebihi tahun sebelumnya.

Berikutan itu, seramai 68,362 peserta Felcra Berhad menerima agihan keuntungan boleh agih akhir 2024 sebanyak RM192.51 juta.

Dengan peningkatan ini, purata pendapatan bersih setahun seorang peserta meningkat kepada RM4,420 per hektar.

Ahmad Zahid Hamidi ketika mengumumkan perkara itu berkata, jumlah tersebut diraih daripada 583 projek yang mencatat keuntungan di seluruh negara.

“Pembayaran ini dilakukan secara berperingkat bermula hari ini,” katanya.

Secara keseluruhan, menurutnya, keuntungan Boleh Agih Tahun 2024 adalah sebanyak RM521.9 juta, iaitu peningkatan 138 peratus berbanding 2023.

Katanya, Felcra Berhad menyalurkan beberapa fasa pembayaran kepada peserta iaitu lebih RM96 juta pada Interim 1, Jun tahun lalu.

“Fasa Interim 2 pula dibayar pada September 2024 berjumlah lebih RM129 juta.

“Pembayaran bulanan sepanjang 2024 pula berjumlah lebih RM104 juta,” ujarnya.  – Suara Timur

Related Posts