MARANG: Seorang peguam berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan bersubahat mengedar dan memiliki dadah.
Che Muhammad Amir Syafiq Che Musa, 33, didakwa melakukan perbuatan itu pada 23 Disember 2025 antara 9 pagi hingga 12 tengah hari di Lokap Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu bersama seorang lagi individu, Muhammad Syafiq Syahmi Mohamad Zafri, 26.
Mengikut pertuduhan, Che Muhammad Amir didakwa bersubahat mengedar methamphetamine seberat 123 gram (g), yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika disabit kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tertuduh juga didakwa terhadap dua pertuduhan bersubahat memiliki dadah jenis kanabis seberat 21g serta nimetazepam seberat 13g di lokasi dan masa yang sama.
Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan.
Majistret Nur Athirah Hashim menetapkan 29 April 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Noradila Ab Latif, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Syaza Firdaus Rashid.
Sebelum ini, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin dilapor berkata, kegiatan banduan menyeludup puluhan ketulan dadah ke dalam Penjara Marang terbongkar selepas pemeriksaan keselamatan menemui bahan terlarang itu dalam badan banduan, dipercayai dibawa masuk dengan bantuan seorang peguam.
Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM16,000, mampu digunakan kira-kira 800 penagih. – Metro
