KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Pahang melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri kini berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan telah berlangsung Majlis Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2025 yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin.
Alhamdulillah, telah berlangsung Majlis Sambutan BKN 2025 yang dirasmikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, di Jerantut.
“Kerajaan Negeri Pahang ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kerana memilih Daerah Jerantut sebagai lokasi pelancaran peringkat kebangsaan ini. Satu pengiktirafan besar buat Negeri Pahang.
“Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Pahang melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri kini berada dalam keadaan siap siaga menghadapi MTL 2025/2026,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berharap agar Negeri Pahang Darul Makmur dilindungi dari segala musibah dan bencana dalam usaha memperkukuh semangat ‘Sentiasa Siaga, Bencana Terjaga’, seiring aspirasi Pahang 1st.
“Kesiapsiagaan bukan sekadar tindakan ketika bencana berlaku, tetapi satu budaya yang mesti dipupuk setiap masa. Apabila rakyat peka, agensi bersedia dan keputusan dilaksana dengan cepat serta teratur, Insya-Allah negeri ini akan selamat, makmur serta berdaya tahan.
“Marilah kita berdoa semoga Allah SWT terus melindungi Negeri Pahang Darul Makmur daripada sebarang musibah dan bencana serta memberkati segala usaha kita dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
“Semoga usaha ini terus memperkukuh semangat ‘Sentiasa Siaga, Bencana Terjaga’, seiring aspirasi Pahang 1st dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terjaga dan terpelihara,” katanya lagi. – Umno Oline