Negara

Lagi kes buli di Sabah: Pelajar Tingkatan 2 ditendang senior, ditumbuk kerana lewat masuk asrama

KOTA KINABALU: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua di sebuah sekolah di Limauan, dekat Kinarut cedera ditendang senior dipercayai kerana lambat masuk ke bilik asrama.

Kejadian berlaku pada malam 7 September lalu, sebelum ibu pelajar terbabit, 42, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar pada 9 September lalu, disusuli laporan kedua di IPD Kota Kinabalu, hari ini.

Peguam mewakili ibu mangsa, Nurshalilah Fauzan Mailin, berkata kejadian dipercayai berunsur buli itu berlaku jam 11 malam di sekolah berkenaan.

Katanya, mangsa mendakwa ditendang pada perut, ditampar pipi dan ditumbuk hidung oleh seorang pelajar Tingkatan Empat sehingga mengakibatkan kecederaan.

“Pada malam sama, mangsa juga diminta ‘menggosok’ baju oleh seorang pelajar Tingkatan Tiga sekolah tersebut.

“Anak guam saya membuat laporan polis selepas dimaklumkan oleh salah seorang guru sekolah berhubung kejadian itu,” katanya ketika ditemui di pekarangan IPD Kota Kinabalu, hari ini.

Nurshalilah berkata, beliau percaya dan yakin pihak IPD Papar mungkin sedang menjalankan siasatan, namun beberapa hari ini seolah-olah ada usaha cubaan untuk kes ini diselesaikan secara baik antara ibu bapa pelajar yang membuli dengan anak guamnya.

“Jika perkara ini diselesaikan sebegitu, kejadian buli akan terus berlaku tanpa sebarang tindakan undang-undang diambil kepada pembuli atau pelajar yang melakukan kesalahan seperti ini,” katanya.- Berita Harian



Related Posts