BERA: Seorang eksekutif jualan maut selepas motosikal ditungganginya terbabas di Jalan Palong 8 di sini, ketika dalam perjalanan menyertai Himpunan RXZ Members 7.0 yang berlangsung di Terengganu, esok.
Mangsa, Mohd Syukri Shahrudin, 33, dari Taman Sedia Raja, Chembong, Rembau, Negeri Sembilan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala dan tangan.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, berkata kejadian berlaku jam 6.30 pagi tadi ketika mangsa menunggang motosikal Yamaha RXZ dari arah Rembau menuju ke Terengganu.
“Siasatan awal mendapati, mangsa sepatutnya membelok ke kanan di simpang tiga, namun terus bergerak lurus sebelum melanggar tebing bahu jalan.
“Kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang gagal mengawal motosikal ditunggang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan, mangsa dalam perjalanan menyertai Himpunan RXZ bersama konvoi membabitkan kira-kira 60 motosikal lain, dan beliau antara peserta terawal yang berada di hadapan kumpulan itu.
“Tiada saman trafik direkodkan terhadap mangsa, manakala motosikal terbabit akan dihantar ke PUSPAKOM untuk pemeriksaan lanjut.
“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Bera untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Berita Harian