KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan langkah pemberian diskaun bagi bayaran tol sempena Aidilfitri seperti mana dilaksanakan ketika sambutan Tahun Baharu Cina.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata namun pemberian potongan tol sebanyak 50 peratus daripada kadar tol biasa itu, akan diumumkan dalam masa terdekat ini.
“Memang kita akan ada sebab sudah buat Tahun Baharu Cina, takkan tidak buat untuk Aidilfitri… nanti kita akan umumkan kepada mereka yang hendak balik kampung, memang ada (diskaun tol).
“Kita buat seperti mana Tahun Baharu Cina iaitu 50 peratus… cuma kena sabar sikit kerana kena diperhalusi,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian pada program lawatan kerja rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kementerian Kerja Raya (KKR), di sini.
Ditanya sama ada pemberian potongan tol itu ada dibincangkan bersama Perdana Menteri ketika lawatan kerja berkenaan, beliau memaklumkan perkara itu tidak termasuk dalam perbincangan terbabit.
Ketika sambutan Tahun Baharu Cina Januari lalu, kerajaan bersetuju memberi potongan tol 50 peratus dari kadar tol biasa.
Keputusan ditetapkan dalam mesyuarat Kabinet ketika itu membabitkan implikasi kewangan ditanggung kerajaan RM20.08 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol.
Januari lalu, KKR memaklumkan dasar pemberian tol percuma untuk semua perayaan utama tidak akan diteruskan bermula tahun ini. – Berita Harian