KUALA TERENGGANU: Lelaki warga Mesir yang juga pemilik premis perniagaan mengaku bersalah terhadap pertuduhan menjual perhiasan ayat al-Quran yang mengandungi kesilapan cetakan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.
Tertuduh, ElkIlany Osama Aly Shaban Ahmed membuat pengakuan di hadapan Majistret Yuhanis Mohd Roslan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM4,000 atau dua bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut, bagaimanapun tertuduh membayar denda yang dikenakan.
Mengikut pertuduhan, ElkIlany memiliki dan menjual bahan bercetak al-Quran yang tidak mendapat kelulusan seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 14(1) Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986 (APTQ 1986).
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KDN, Nur Nabiha Izzati Wahit, yang turut memohon supaya semua barang rampasan dilupuskan.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan itu. – Harian Metro