Negara

19,179 guru bersara awal sejak 2022, kebanyakan hilang minat

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) merekodkan 19,179 guru sekolah menengah dan rendah memilih bersara awal sejak 2022 hingga Mei tahun ini, kebanyakannya memberi alasan tidak lagi berminat sebagai pendidik.

Berdasarkan data, seramai 5,306 guru bersara awal pada 2022, manakala 2023 seramai 6,394 orang, 5,082 (2024) dan 2,397 (Mei 2025).

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata sebanyak 67.44 peratus guru memberikan alasan tidak lagi berminat.

Katanya, 17.43 peratus lagi memberikan alasan masalah keluarga, 7.69 peratus mengalami masalah kesihatan, 5.3 peratus berpunca beban kerja dan 2.08 peratus lagi masalah peribadi.

“KPM sentiasa komited dalam menangani isu kekurangan tenaga pengajar di samping memastikan kesejahteraan guru terus terpelihara.

“Justeru, KPM melaksanakan pengambilan guru tetap sebanyak dua kali setahun, manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) membuka sistem permohonan guru sepanjang tahun bagi mempercepat pengambilan dan penempatan guru,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN – Masjid Tanah) mengenai berapa ramai guru memilih untuk bersara awal bagi 2022 hingga 2024 dan langkah KPM menangani isu kekurangan guru.

Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, antara langkah dilaksanakan KPM bagi menangani isu kekurangan guru dengan membuat penambahbaikan ke atas fungsi pengurusan di sekolah melalui pewujudan Modul Tadbir Urus Sekolah (MySG) sejak 2021. – Berita Harian

Related Posts