Negara

Polis sahkan terima laporan kereta tertusuk anak panah

GEORGETOWN: Polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang lelaki warga tempatan yang mendakwa kereta dipandu terkena anak panah dari sebuah padang di Jalan Macalister, di sini.

Video kejadian itu turut tular di media sosial memaparkan sebuah kereta berwarna putih terkena anak panah yang dipercayai datang dari arah padang berhampiran jalan raya berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, laporan itu dibuat pemandu kereta berkenaan yang berusia 57 tahun, dari Ayer Itam.

Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian ketika lelaki berkenaan memandu dari Ayer Itam ke Jalan Pangkor, jam 3.30 petang Rabu lalu.

“Ketika melalui Jalan Macalister, tiba-tiba anak panah disyaki datang dari arah sebuah padang yang sedang dijalankan aktiviti sukan memanah, tertusuk pada pintu kanan bahagian belakang kereta itu.

“Pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Rozak berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat).

Katanya, hasil semakan dengan sekolah, pihaknya dimaklumkan terdapat aktiviti latihan sukan memanah yang dianjur di padang sekolah bersebelahan dengan Jalan Macalister.

“Aktiviti anjuran Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang itu sudah dihentikan pada Khamis iaitu selepas kejadian berkenaan dilaporkan.

“Kejadian ini juga sudah dilapor kepada MSN Pulau Pinang dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang oleh pihak sekolah,” katanya.

Katanya, orang ramai dinasihat supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu sehingga boleh menjejaskan siasatan pihak polis. sini. – Berita Harian

Related Posts