KUALA LJMPUR: “Hanya Tuhan tahu perasaan saya apabila lihat keadaan emak sangat lemah ketika itu sehingga dia peluk saya kuat-kuat atas motosikal,” kata Maizatunainie Ngarip @ Arif, 40.
Menceritakan kejadian itu, Maizatunanie yang mesra dengan panggilan Nanie berkata, insiden berkenaan berlaku semasa mereka pulang dari klinik swasta di Tangkak, Johor pada 28 Mac lalu.
“Sehari sebelum kejadian, emak, Morisiah Saat, 76, ada maklumkan dia sesak nafas sebelum saya datang ke rumahnya di Kampung Parit Tunggul, Kundang Ulu, Tangkak untuk membawanya ke klinik.
“Saya terpaksa memujuknya naik motosikal untuk ke klinik memandangkan hanya itu kenderaan ada pada hari kejadian. Waktu kejadian kira-kira jam 12 tengah hari dan banyak klinik tutup untuk solat Jumaat,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Nanie berkata, sebaik tiba di sebuah klinik swasta berhampiran, ibunya diberi oksigen sebelum mereka pulang ke rumah dengan menaiki motosikal.
“Dalam perjalanan balik ke rumah, saya rasa belakang badan saya dipeluk emak sambil bersandar. Saya terus mengeluarkan telefon dan merakam video bagi melihat keadaanya.
“Saya lihat mata emak sudah terpejam menyebabkan saya panik dan terus meraung serta menangis. Saya juga menghubungi rakan serta adik-beradik terdekat untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Menurutnya, dia sedar ramai pihak mengecam tindakannya merakam video berkenaan meskipun ia dibuat bagi melihat keadaan ibunya ketika itu.
“Saya memang suka rakam video dengan emak, bukan sahaja ketika kejadian itu, tetapi dalam apa sahaja keadaan kami bersama untuk dijadikan sebagai memori.
“Tujuan saya muat naik video itu adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai hubungan kekeluargaan termasuk dengan emak.
“Saya mahu orang ramai faham bahawa ada di antara kita yang terpaksa korbankan kerjaya dan cita-cita untuk menjaga emak dan ayah,” katanya.
Nanie berkata, penularan video itu sehingga ke negara jiran menyebabkan ada maklumat palsu tersebar menyatakan ibunya sudah meninggal dunia.
“Meskipun ramai yang mengecam saya, namun ada juga antara warganet yang memberi komen positif. Malah ada di antara mereka turut mendoakan kesihatan emak,” katanya.
Dia memuat naik dua rakaman video di akaun TikTok miliknya berkaitan kejadian itu yang kedua-duanya merekodkan lebih 23 juta tontonan setakat semalam.
Sementara itu, Morisiah berkata, dia dirawat selama beberapa hari di hospital susulan kejadian itu akibat mengalami tekanan darah rendah.
“Semasa perjalanan balik ke rumah, saya nampak sekeling berwarna ungu. Jadi, saya peluk Nanie kuat-kuat. Apabila sedar, saya sudah berada di hospital.
“Apabila saya lihat video dirakam Nanie, saya tidak boleh ingat apa yang berlaku. Saya rasa sedih apabila melihat Nanie yang juga anak bongsu daripada 10 beradik menangis dalam video itu.
“Di hadapan Nanie, saya tidak dapat nak cakap terima kasih kepada dia. Saya ambil peluang ini untuk ucap terima kasih kepadanya sebab dia anak yang baik,” katanya. – Harian Metro