SHAH ALAM – Lebih 40 kenderaan termasuk tujuh motosikal musnah dalam kebakaran di sebuah bengkel di Seksyen 24 di sini pada Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, dalam kejadian itu seorang lelaki tempatan berusia 30-an iaitu pekerja bengkel cedera ringan.
“Kita menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.31 malam, sebelum 21 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam serta bantuan BBP Bukit Jelutong bergegas ke lokasi yang jaraknya sejauh dua kilometer.
“Kita tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian, mendapati kebakaran melibatkan sebuah bengkel kenderaan.
“Dianggarkan premis berkenaan terbakar 90 peratus melibatkan struktur bangunan, 37 buah kereta berlainan jenis serta tujuh buah motosikal,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ahmad Mukhlis berkata, tiada mangsa berada dalam premis ketika kebakaran dan hanya seorang pekerja bengkel melecur di tangan kerana cuba mengalihkan kenderaan.
“Lelaki itu telah diberi rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dihantar ke hospital oleh keluarga serta dilaporkan stabil.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.26 tengah malam dan operasi tamat pada jam 2.31 pagi tadi (Isnin),” katanya.- Sinar Harian