Negara

ATM tidak berkompromi dengan pengkhianat negara

KUALA TERENGGANU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan khianat yang berlaku dalam organisasi, kata Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Katanya, justeru itu Tentera Darat Malaysia (TDM) akan memberi kerjasama penuh, membantu siasatan terhadap pegawai kanannya yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan di selatan tanah air baru-baru ini.

Katanya, perbuatan yang menyalahi undang-undang seperti membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol dengan sindiket untuk membawa masuk barangan larangan seperti dadah bukan sahaja mengkhianati negara, malah mencemarkan imej ATM dan negara.

“Tidak kira siapa mereka, pegawai atau anggota, yang bersalah tetap akan dibawa ke muka pengadilan, tidak ada keistimewaan dalam tentera. Kita tidak akan berkompromi dengan pengkhianat negara,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Penutup Kursus Asas Pasukan Atur Gerak Cepat (Apac) Siri 2/2025, di sini, hari ini.

Tengku Muhammad Fauzi berkata, pihaknya sentiasa menekankan aspek integriti dan tidak mahu kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

“Apa yang ditekankan apabila masuk (perkhidmatan) tentera, kita ada ikrar satria yang antaranya menjaga rahsia negara seketat-ketatnya.

“Perbuatan itu (membocorkan maklumat) bukan sahaja memberi imej buruk kepada mereka bahkan organisasi tentera,” katanya yang memaklumkan enggan insiden berkenaan boleh menyebabkan kesetiaan dan perkhidmatan ATM terhadap negara diragui masyarakat.

Untuk itu katanya, semua pihak yang terbabit biarpun berpangkat tinggi dalam ATM harus dikenakan tindakan mengikut undang-undang awam dan ketenteraan, sekiranya terbukti bersalah.

Terdahulu SPRM pada Khamis lalu dilaporkan berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan didalangi pegawai-pegawai kanan ATM yang beroperasi di selatan tanah air menerusi Ops Sohor. – Harian Metro

Related Posts