SHAH ALAM: Mantan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar memberi amaran bahawa nasib orang Melayu di bandar akan menjadi seperti ‘abu di atas tunggul’ sekiranya Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) diluluskan.
Menurut beliau, wujud usaha halus untuk menyingkirkan penduduk Melayu dari bandar melalui akta tersebut yang dilihat bertentangan dengan undang-undang sedia ada.
“Kita pun tertanya-tanya apakah ulasan yang diberi oleh Jabatan Peguam Negara dan KPTG (Ketua Pengarah Tanah dan Galian) kerana kalau kita lihat hari ini, ada undang-undang yang memang sudah sedia ada.
“Kita ada Kanun Tanah Negara, Akta Pengambilan Tanah, Akta Strata. Salah satu undang-undang itu, undang-undang yang dipanggil akta strata ini, bawah seksyen 57, kalau nak runtuhkan rumah flat, perlu mendapat persetujuan 100 peratus daripada penghuni.
“Tapi bagaimana dalam akta yang baharu ni, tak perlu dapat 100 peratus? Jadi kalau akta ini diluluskan, akan ada ‘contradict’ (percanggahan) dengan akta sedia ada.
“Saya pun hairan macam mana kabinet boleh luluskan paper kabinet ini kerana bercanggah dengan undang-undang sedia ada,” katanya menerusi satu hantaran di laman TikTok beliau.
Beliau turut menyentuh mengenai beberapa kes yang pernah berlaku sebelum ini, di mana terdapat pemaju menawarkan rumah gantian berbentuk kondominium kepada penghuni asal flat dirobohkan, namun terpaksa menanggung kos penyelenggaraan tinggi.
“Bayangkan untuk bayar kos ‘maintenance’ rumah kondominium ini kurang-kurang dekat RM400 ke RM500 sebulan ataupun lebih daripada itu. Mampukah mereka ini untuk membayar ‘maintenance’ ini?
“Kalau tak bayar maintenance ini di bawah akta-akta strata, maka rumah itu boleh disita oleh pihak pengurusan. Akhirnya, mereka terpaksa balik ke kampung. Ini bermakna dasar pecah dan perintah zaman British akan berulang kembali,” katanya. – Harakahdaily