Mahkamah dan Jenayah

Dua anak doktor didakwa edar 35.58 kg kanabis

KOTA BHARU: Dua anak lelaki doktor didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah disyaki jenis kanabis seberat 35.58 kilogram (kg) di sebuah rumah di Kampung But, Ketereh pada 5 Ogos lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan terhadap kedua-dua tertuduh, Ahmad Ammar Rusydi Mohd Hanafi, 23 dan abangnya Mohammed Hibatul-Alimi, 34, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid dan Wan Mohd Izzat Wan Abdullah.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, Ahmad Ammar Rusydi didakwa mengedar dadah berbahaya disyaki jenis kanabis seberat 14.78 kg dan Mohammed Hibatul-Alimi didakwa mengedar dadah disyaki kanabis seberat 20.8 kg.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung But, Ketereh jam 4.30 petang pada 5 Ogos lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati dan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dipenjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli dan Nur Haziqah Hassan, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hasif Hasan.

Mahkamah menetapkan 16 Oktober dan 27 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, dalam pertuduhan berasingan di Mahkamah Sesyen, Ahmad Ammar Rusydi turut didakwa atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol jenis Glock AEKZ847 Mariner berserta 16 peluru hidup di lokasi serta tarikh yang sama.

Bagaimanapun Ahmad Ammar mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki senjata api jenis Glock AEKZ847 Mariner 9X19 USA berserta 16 biji peluru hidup dengan menyalahi undang-undang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat sehingga enam kali.

Pendakwaan dikendalikan Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh diwakili peguam yang sama.

Mahkamah menetapkan 22 September bagi tarikh sebutan semula kes. – Harian Metro

Related Posts