KUALA LUMPUR: Polis menjangkakan antara 10,000 hingga 15,000 orang akan menyertai Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan pada 26 Julai.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata pihak penganjur sudah membuat pemakluman kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Menurutnya, seramai 2,000 pegawai dan anggota akan ditugaskan bagi membantu melancarkan perhimpunan berkenaan selain menjaga keselamatan peserta dan orang awam.
“Pihak kami akan menguruskan perkara ini sebaik mungkin, setakat ini, unjuran awal daripada pihak Cawangan Khas menganggarkan antara 10,000 hingga 15,000 orang dijangka hadir dalam perhimpunan itu.
“Saya ingin menyeru kepada semua pihak untuk memastikan perhimpunan dijalankan secara tertib dan aman, jagalah tingkah laku, elakkan sebarang provokasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Serah Terima Tugas antara dirinya dan bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa yang kini bergelar Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.
Mohamed Usuf memberi peringatan kepada individu yang melakukan provokasi akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi.
Menurutnya, hak untuk berhimpun dan berucap juga tidak boleh disalah guna sehingga mencetus kacau-bilau awam, lebih-lebih lagi sekiranya membabitkan isu 3R (agama, diraja, perkauman).
“Kalau boleh, jangan membakar apa-apa benda, dan jangan gunakan pembesar suara secara melampau seperti dalam kejadian sebelum ini.
“Ingatlah, kita semua mempunyai tanggungjawab bersama dalam menjamin keselamatan negara,” katanya.
Menurutnya, pihak polis menjangkakan orang ramai mula berkumpul seawal jam 11 pagi di empat lokasi yang sudah dikenal pasti sebelum masing-masing berarak ke Dataran Merdeka pada 2 petang.
Tiada penutupan jalan dirancang setakat ini namun ia bergantung kepada situasi semasa dan hanya akan dilakukan sekiranya keadaan memerlukan. – Berita Harian