Negara

Tuan tanah setuju utamakan jual kepada masjid

BAGAN SERAI: Pemilik tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu di sini bersedia memberi keutamaan urusan jual beli kepada pihak masjid bagi memastikan tanah itu tidak bertukar milik.

Perkara itu disahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Noor Azman Ghazali yang menyatakan komitmen tuan tanah berbangsa Cina itu untuk tidak menjual kepada pihak lain selagi rundingan dengan jawatankuasa masjid masih berjalan.

“Ini satu perkembangan yang sangat melegakan,” katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.

Beliau berkata, tanah berkeluasan 1.2 hektar tersebut dinilai sekitar RM1.8 juta berbanding RM2 juta dalam pasaran.

“Tapak masjid itu sendiri tidak mencecah satu ekar pun, tetapi tuan tanah mahu libatkan pembelian keseluruhan kawasan dan itu akan membolehkan pembangunan tambahan seperti kawasan parkir dan kemudahan sekitar,” jelasnya.

Menurut Noor Azman, isu pemilikan tanah yang menempatkan masjid berusia hampir 100 tahun itu mula timbul sekitar 2012 apabila tanah berkenaan telah dijual kepada seorang individu bukan Islam.

Komitmen tuan tanah berbangsa Cina telah diperoleh untuk tidak menjual tanah menempatkan Masjid Jamek Ar Ridzuan kepada pihak lain selagi rundingan dengan jawatankuasa masjid masih berjalan.

Katanya, usaha awal pernah digerakkan termasuk menyediakan tabung kutipan khas untuk menyelamatkan tanah, tetapi telah digunakan untuk tujuan lain.

“Ini masalah lama, tapi masyarakat tak tahu. Bila saya bangkitkan isu ini dalam Sidang DUN baru-baru ini, Menteri Besar sendiri akui beliau tidak pernah dimaklumkan sebelum ini.


“Saya sendiri hanya dimaklumkan secara tidak rasmi oleh komuniti setempat. Kini barulah perkara ini didedahkan secara terbuka untuk diambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Beliau memuji inisiatif pengurusan baharu masjid yang telah dilantik lebih setahun lalu kerana bersikap proaktif dengan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Bertindak khusus bagi mengurus usaha menyelamatkan tanah berkenaan.

“Mereka tubuhkan jawatankuasa khas untuk selamatkan masjid ini dan saya terus bantu hubungkan mereka dengan Pejabat Menteri Besar,” katanya.

Katanya, antara cadangan yang dikemukakan ialah menggerakkan solidariti masjid-masjid di seluruh negeri bagi membantu mengisi tabung pembelian tanah bernilai RM1.8 juta itu.

“Ini boleh jadi modul pertama di Perak – semua masjid salurkan kutipan khas untuk bantu sebuah masjid yang memerlukan. Menteri Besar pun setuju dengan pendekatan ini,” ujarnya.

Masjid Jamek Ar Ridzuan yang dibina sekitar tahun 1931 tersebut telah melalui beberapa proses baik pulih dan kini berdepan keperluan mendesak untuk mendapatkan semula hak milik tanah.

Pada Isnin, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan, kerajaan negeri akan menggunakan wang kutipan derma solat Jumaat dari seluruh negeri bagi membeli tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan daripada pemiliknya yang berbangsa Cina.

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah mengeluarkan surat pemakluman berhubung perkara tersebut kepada pihak pengurusan masjid dan surau di negeri ini. – Sinar Harian

Related Posts