Negara

Malaysia bakal terima pasangan baharu Giant Panda

PETALING JAYA:  Negara berjaya memperoleh Pemeteraian Perjanjian Baharu Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda antara China membolehkan Malaysia menerima pasangan Giant Panda baharu bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, beliau telah mewakili negara dalam Majlis Pertukaran Perjanjian Baharu Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda antara kerajaan Malaysia dan Republik Rakyat China (RRC) bersama Duta China ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Ouyang Yujing mewakili Republik Rakyat China semalam di Kompleks Sri Perdana, Putrajaya.

“Projek kerjasama ini merupakan simbol persahabatan erat antara Malaysia dan China. Ia memupuk diplomasi konservasi, selari dengan semangat Malaysia Madani yang mengutamakan kerjasama antarabangsa dalam usaha kelestarian.

“Malaysia melalui perjanjian terdahulu yang dimeterai pada 15 Jun 2012 telah menerima sepasang Giant Panda untuk tempoh 10 tahun ditempatkan di Pusat Konservasi Giant Panda, Zoo Negara.

“Dalam tempoh ini, Malaysia telah menunjukkan pencapaian luar biasa dalam konservasi ex-situ Giant Panda dengan kelahiran tiga ekor anak Giant Panda,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial sebentar tadi.

Terdahulu, majlis pertukaran perjanjian baharu itu telah disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden RRC Tuan Yang Terutama Xi Jinping bersempena dengan Lawatan Negara Presiden RRC ke Malaysia bermula 15 hingga hari ini.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu
Hashim bagi pihak kerajaan Malaysia dan Setiausaha Agung, China Wildlife Conservation Association (CWCA), Yan Jian bagi pihak RRC.

Nik Nazmi juga berharap Giant Panda yang merupakan utusan khas daripada RRC dapat menggalakkan lagi persefahaman dan kerjasama erat di antara kedua-dua negara.

“Malaysia akan terus komited dalam usaha kerjasama dengan Negara China demi konservasi dan meningkatkan kerjasama saintifik dalam pemeliharaan spesies hidupan liar ikonik Giant Panda,” katanya. – Kosmo







Remaja maut kereta terjunam dalam tali air

TELUK INTAN: Seorang remaja lelaki maut selepas kereta yang dinaiki dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam tali air di Parit 9, Jalan Labu Kubong dekat Chenderong Balai pada Khamis.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga individu lain yang lain terselamat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kemalangan maut diterima pada jam 2.29 petang melibat kereta jenis Proton Iswara.

Menurut beliau, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan diatur gerak ke lokasi kejadian.

“Kemalangan melibatkan empat mangsa lelaki masing-masing berusia 18 tahun yang mana tiga orang dikeluarkan oleh orang awam manakala seorang lagi mangsa tidak sedarkan diri.

“Mangsa yang tidak tersepit bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di tempat kejadian,” katanya di sini.

Sabarodzi berkata, pasukan kemudian meneruskan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Sinar Harian

Related Posts