Sukan

Qabil muncul juara berganda di Litar Jerez

KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah, kemenangan berganda berjaya saya raih minggu ini.”

Demikian nada syukur pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan yang terpaksa melupakan seketika sambutan Aidilfitri dan pengorbanannya itu berbaloi apabila menjuarai kedua-dua perlumbaan Pusingan 1 Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) Talent 2025 di Litar Jerez, Sepanyol.

Pada usia 13 tahun, ketika ramai rakan seangkatannya terus meraikan sambutan hari raya, Qabil hanya sempat menyambut Aidilfitri di hari pertama sebelum terbang ke Sepanyol di hari raya kedua untuk mempersiapkan dirinya menghadapi Pusingan 1.

Malah kejayaan meraih podium berganda itu meningkatkan lagi semangat Qabil untuk lebih menyerlah pada enam lagi pusingan seterusnya selepas ini.

“Segala kejayaan ini adalah hasil daripada usaha keras pasukan, keluarga serta sokongan dan doa daripada semua penyokong dan rakyat Malaysia.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua penaja yang sentiasa berdiri bersama saya. Perjalanan saya belum berakhir dan masih ada enam pusingan lagi untuk ditempuhi tahun ini.

“Kemenangan ini menjadi pembakar semangat untuk saya berlatih dengan lebih gigih dan terus memberikan yang terbaik.

“Tidak terlambat untuk saya mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia. Maaf zahir dan batin,” katanya.

Selepas menjuarai Perlumbaan 1 kelmarin, Qabil yang beraksi bersama pasukan Frando Racing VHC Team Liqui Moly meneruskan tunggangan cemerlang dengan menjuarai Perlumbaan 2, semalam.

Seperti ketika Perlumbaan 1, pelumba negara itu sekali lagi dicabar hebat pelumba Sepanyol, Izan Rodriguez yang terpaksa berpuas hati menamatkan saingan selaku naib juara manakala seorang lagi pelumba Sepanyol, Andres Garcia di tempat ketiga pada Perlumbaan 2, semalam.

Qabil melintasi garisan penamat perlumbaan 14 pusingan itu sebagai juara dengan catatan masa 26 minit 08.299 saat (s), hanya dibezakan 0.403s dengan Rodriguez.

Pusingan kedua ESBK Talent akan berlangsung pada 9 hingga 11 Mei di litar yang bakal diumumkan kelak. – Harian Metro

Related Posts