CYBERJAYA: Pengendali stesen radio Era FM, Maestra Broadcast Sdn Bhd dikompaun RM250,000 bagi kesalahan memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok stesen radio berkenaan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi kenyataan memaklumkan, kompaun tersebut dikeluarkan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (selepas pindaan berkuat kuasa 11 Februari 2025), setelah pihaknya mendapat izin daripada Jabatan Peguam Negara.
Menurutnya, SKMM membuat keputusan untuk tidak menggantung lesen Maestra Broadcast selepas meneliti hujahan yang dikemukakan.
“Dalam membuat keputusan tersebut, pertimbangan juga telah diberikan terhadap tindakan-tindakan susulan yang telah dilaksanakan oleh syarikat pemegang lesen, permohonan maaf oleh pihak terbabit serta kesan penggantungan terhadap stesen radio Melody dan Mix FM yang beroperasi di bawah lesen yang sama,” katanya pada Rabu.
Sebelum ini, penyampai radio slot 3 Pagi Era iaitu Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin tampil memohon maaf berikutan penghasilan video kontroversi yang didakwa mempersendakan tarian kavadi Hindu.
Vidoeo berkenaan dimuat naik menerusi platform TikTok kemudiannya diturunkan selepas mendapat kritikan pelbagai pihak, termasuk Timbalan Presiden MIC yang juga Ahli Parlimen Tapah, M Saravanan.

“Semua pengendali dan pengguna platform diingatkan untuk sentiasa bertanggungjawab dalam memelihara keharmonian kaum dan agama di Malaysia serta mematuhi undang-undang,” katanya. – Sinar