KEMAMAN: Universiti College TATI (UCTATI) menganjurkan program anak angkat “Dari Kampus ke Komuniti: Bersama Warga Padang Kubu” bagi mengukuhkan hubungan antara mahasiswa dan masyarakat setempat menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan di Kampung Padang Kubu, di sini, minggu lepas.
UCTATI dalam kenyataan memaklumkan program yang berlangsung selama tiga hari dua malam itu melibatkan 40 mahasiswa dan 10 pensyarah daripada Fakulti Komputer, Media dan Pengurusan Teknologi.
Menurut kenyataan itu, program berkenaan memberi peluang kepada mahasiswa berinteraksi secara langsung dengan masyarakat luar bandar menerusi aktiviti berbentuk akademik, sosial, kebudayaan, kesukarelawanan dan pembangunan komuniti.
“Program ini bertujuan mengeratkan hubungan antara mahasiswa dan komuniti setempat, di samping memupuk nilai kepimpinan, kerja berpasukan, komunikasi serta tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar.

“Ia juga memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai kehidupan dan budaya masyarakat luar bandar selain menggalakkan penglibatan aktif mereka dalam aktiviti pembangunan komuniti,” menurut kenyataan itu.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama TDM Berhad dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Padang Kubu, selain disokong beberapa agensi kerajaan dan badan komuniti menerusi pelaksanaan aktiviti seperti pameran, gotong-royong, sukan rakyat, program kesedaran sosial dan malam kebudayaan.
Pengarah program, Nur Syahira Abd. Latif berkata program itu merupakan inisiatif pelajar Diploma in Technology Management (Entrepreneurship) yang mengikuti kursus Project Management (DTG2073) pada semester ini.
Beliau yang juga pensyarah Fakulti Komputer, Media dan Pengurusan Teknologi berkata program anak angkat merupakan medium berkesan untuk membina hubungan dua hala antara institusi pendidikan tinggi dengan masyarakat.

“Melalui pendekatan ini, mahasiswa dapat mengaplikasikan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan dalam suasana sebenar masyarakat, sekali gus meningkatkan kemahiran insaniah serta keyakinan diri mereka,” katanya.
Menurut beliau, Kampung Padang Kubu dipilih sebagai lokasi program kerana memiliki komuniti yang aktif dan berpotensi menjadi rakan strategik UCTATI dalam pelaksanaan program pembangunan komuniti pada masa hadapan.
Sebagai sebahagian daripada pengisian program, peserta turut mengadakan lawatan ke kilang kelapa sawit dan loji biogas TDM di Ladang Pelantoh, TDM Plantation Sdn Bhd bagi memberi pendedahan mengenai operasi industri perladangan dan amalan kelestarian.
Selain itu, peserta turut menyertai pelbagai aktiviti kebajikan, kerohanian dan gotong-royong bersama penduduk kampung sebagai usaha memperkukuh semangat kebersamaan antara institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat. – Suara Timur
