Home Mahkamah dan JenayahSambungan air tanpa kebenaran, pemilik kilang ais didenda RM50,000

Sambungan air tanpa kebenaran, pemilik kilang ais didenda RM50,000

oleh suara timur

KOTA BHARU: Seorang pemilik kilang ais didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan penyambungan kepada paip air tanpa kebenaran di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, di sini, pada Jun 2018.

Orang Kena Saman (OKS), Mohamad Yusrid Mohd Yusof, 33, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan, OKS sebagai penghuni di tapak kilang berkenaan melakukan perbuatan menyalahi undang-undang dengan membuat sambungan ke paip air tanpa kebenaran pemegang lesen iaitu Air Kelantan Sen Bhd (AKSB).

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Padang Tembak, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, di sini, pada 7 Jun 2018.

banner

OKS didakwa mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 123(3) akta sama memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Suhaidariah Ahmad dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, OKS memohon supaya denda minimum dikenakan terhadapnya manakala Suhaidariah Ahmad memohon hukuman setimpal dikenakan memandangkan kes berkenaan adalah serius.

Suhaidariah berkata, OKS sebagai pemilik tunggal kilang berkenaan melakukan penyambungan haram itu selama 17 bulan membabitkan kerugian yang terpaksa ditanggung AKSB sebanyak lebih RM41,000.

Katanya, tindakan itu turut menyumbang kepada berlaku peningkatan peratusan air tidak terhasil (NRW) di Kelantan.

“Peningkatan NRW akan mengakibatkan AKSB mengalami masalah kekurangan daripada segi modal untuk menambah baik infrastruktur sistem bekalan air terutamanya bagi kerja-kerja penyenggaraan paip-paip usang.

“Justeru denda yang setimpal perlu dikenakan terhadap OKS memandangkan OKS seorang yang mampu selain selaku pemilik tunggal kilang berkenaan,” katanya.

Mahkamah kemudiannya mengenakan denda RM50,000 kepada OKS dan sekiranya gagal membayar denda berkenaan, OKS boleh dipenjara selama 12 bulan. – Metro

Tinggalkan komen